
BANGKOK: Thailand sedang membuat penilaian akhir terhadap kemungkinan membenarkan pesara dari Eropah menghabiskan cuti musim sejuk di negara itu, sebagai usaha menyelamatkan sektor pelancongan mereka yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Walaupun sempadan kebanyakan negara Asia masih ditutup kepada pelancong asing sejak akhir Mac, kerajaan ketika ini merancang untuk meluluskan visa kepada rakyat asing yang mahu menetap di Thailand sehingga sembilan bulan, kata Boon Vanasin, pengarah Kumpulan Kesihatan Thonburi, firma hospital swasta ketiga terbesar Thailand.
Pelancong jangka panjang ini akan memulakan penginapan dengan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari dan beberapa ujian kesihatan di lokasi tarikan ramai iaitu Phuket.
Selepas tiga minggu berada di pulau dan jika keputusan ujian terbukti negatif, mereka bebas untuk melawat seluruh pelusuk Thailand, kata Boon sambil memberitahu, ketibaan semua pelancong itu dijangka bermula sebelum musim sejuk.
Walaupun kerajaan pada dasarnya meluluskan perancangan itu, mereka masih menimbangkan pendekatan yang sesuai bagi mengurangkan risiko jangkitan virus, kata jurucakap, Traisulee Traisoranakul.
Pembukaan semula pintu masuk negara adalah talian hayat untuk industri pelancongan dan hospitaliti Thailand yang kian parah.
Walaupun Thailand adalah antara negara yang paling berjaya mengekang COVID-19 di seluruh dunia dengan sifar jangkitan tempatan dalam tempoh tiga bulan, sektor pelancongan mereka teruk terjejas, dan diramalkan menjunam sehingga 8.5 peratus tahun ini.
Perancangan terbaharu Thailand itu membolehkan jutaan pesara Eropah seperti rakyat Jerman dan Sweden yang gemar bercuti di negara Mediterranean ketika musim sejuk, menjadikan destinasi Asia itu sebagai pilihan, apatah lagi apabila ia selamat daripada ancaman COVID-19. - AGENSI
Sumber : Thailand rancang benarkan pelancong asing jangka panjang
0 Comments