46 ditahan ingkar PKPP

PUTRAJAYA: Polis menahan 46 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, seramai 45 individu dikompaun manakala seorang direman.

Ismail Sabri berkata, Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 55,838 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP, semalam.

Beliau berkata, sebanyak 3,185 pasukan pematuhan membabitkan 13,314 anggota membuat pemantauan di 3,498 pasar raya; 4,527 restoran serta 1,334 penjaja; 898 kilang; 3,275 bank dan 764 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau ialah 1,016 terminal pengangkutan darat; 168 terminal pengangkutan air dan 101 terminal pengangkutan udara.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk 15 parti persendirian; kesalahan gagal menyediakan peralatan/catatan keluar masuk (lapan ); tidak memakai pelitup muka (11); premis beroperasi lebih masa (10); premis beroperasi tanpa lesen perniagaan (satu) dan aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (satu)," katanya melalui kenyataan media hari ini.



Sumber : 46 ditahan ingkar PKPP

Post a Comment

0 Comments