GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan jumlah kematian mingguan sekitar 50,000 mangsa akibat COVID-19 adalah terlalu tinggi, ketika bilangan pesakit yang maut di seluruh dunia hampir melepasi sejuta kes.
Menurut WHO, walaupun jumlah kematian global tidak berubah secara ketara, perangkaan seluruh dunia mencatatkan kenaikan pada peringkat serantau dan tempatan.
Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan, berkata penyakit respiratori itu membunuh hampir 947,000 pesakit seluruh dunia sejak ia dikesan akhir Disember lalu di Wuhan, China, dengan lebih 3.2 juta kes direkodkan.
"Kami menambah kira-kira 1.8 juta kes setiap minggu pada peringkat global dan purata antara 40,000 hingga 50,000 kematian.
"Syukur ia tidak meningkat. Walaupun angka itu kekal tidak berubah pada peringkat global, masih berlaku peningkatan di beberapa negara," katanya.

Menurutnya, pandemik itu akan berlarutan untuk jangka masa lama dan walaupun kadar kematian berkurangan susulan penambahbaikan teknik rawatan, jumlah 50,000 kematian setiap minggu tidak boleh diterima.
Sebahagian besar Eropah semalam melaksanakan perintah larangan baharu bagi mengekang penularan virus, manakala Israel melaksanakan perintah berkurung kali kedua di seluruh negara.
Belum ada rawatan ditemui bagi COVID-19 tetapi setkat ini, 36 vaksin berpotensi berada pada pelbagai tahap ujian terhadap manusia.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata pandemik itu membuktikan betapa dunia kurang bersedia menghadapi serangan virus. - AFP
Sumber : 50,000 kematian COVID-19 seminggu masih terlalu tinggi - WHO
0 Comments