522 ditahan ingkar PKP

PUTRAJAYA: Seramai 522 individu ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 342 daripadanya dikompaun, manakala 180 lagi direman.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebahagian besar individu yang ditahan menjalankan aktiviti kelab malam atau pub iaitu membabitkan 363 individu.

"Kesalahan lain termasuklah tidak mematuhi penjarakan fizikal iaitu 81 orang, tidak memakai pelitup muka (36) dan keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) (17).

"Selain itu ada juga yang ditahan kerana gagal menyediakan peralatan dan rekod butiran diri (12), keluar dari kawasan PKPD tanpa alasan kukuh (satu), premis beroperasi tanpa kebenaran (lima), dan tangkapan warga asing tanpa dokumen perjalanan diri (tujuh)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, operasi semalam turut membabitkan pemantauan di 3,475 pasar raya, 4,210 restoran serta 1,189 penjaja, 1,204 kilang, 3,210 bank dan 680 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau 1,021 terminal pengangkutan darat, 195 terminal pengangkutan air serta 281 terminal pengangkutan udara," katanya.

Ismail Sabri berkata, mengenai Operasi Benteng yang dijalankan semalam, pihak berkuasa berjaya menahan 180 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masuk ke negara ini melalui 'lorong tikus'.

Katanya, selain PATI, pihak berkuasa juga berjaya menahan lima penyeludup dan seorang tekong bersama lima kenderaan darat yang digunakan.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya.



Sumber : 522 ditahan ingkar PKP

Post a Comment

0 Comments