KUALA LUMPUR: Ringgit mencatat prestasi terbaiknya dalam tempoh tujuh bulan ini apabila mencecah paras tertinggi berbanding dolar AS kepada RM4.11 pada Jumaat lalu.
Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan, berkata mata wang negara Asia, termasuk ringgit, dijangka diniagakan dalam aliran meningkat minggu ini, dengan unit tempatan bergerak ke arah paras psikologi 4.10.
Katanya, data ekonomi lebih baik berbanding jangkaan yang dicatatkan China, menunjukkan pemulihan asas yang meluas, akan menyokong sentimen terhadap mata wang negara Asia.
"Walaupun ringgit mencecah paras tertinggi berbanding dolar AS sejak Februari, namun kenaikan ringgit setakat ini bagi tahun ini adalah kurang daripada satu peratus," katanya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.
Sementara itu Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata berdasarkan trend semasa, nilai ringgit dilihat semakin mengukuh, seiring dengan proses pembukaan ekonomi yang kian rancak berlaku disamping angka jangkaan COVID-19 yang masih lagi baik jika dibandingkan dengan negara-negara serantau Asia dan global.
Selain itu katanya, data makroekonomi seperti kadar pengangguran yang semakin menurun serta pertumbuhan eksport yang positif jelas menunjukkan ekonomi Malaysia mendapat manfaat hasil daripada usaha untuk mengekang penularan wabak COVID-19 yang dikira berjaya.
"Walau bagaimanapun, risiko untuk berulangnya peningkatan angka jangkitan sememangnya memandangkan R-nought yang melebihi angka satu.
"Ini menunjukkan risiko jangkitan sememangnya tinggi. Justeru, pelabur akan sentiasa memerhati dan memantau perkembangan ini dan melihat apakah kesannya kepada kegiatan ekonomi.
"Selain itu, situasi perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, pilihanraya Presiden AS, Brexit serta turun naik harga minyak mentah juga mampu merubah sentimen pasaran matawang. Oleh itu, risiko berlakunya pantulan teknikal serta kegiatan mengambil untung juga boleh memberi kesan nilai dalam jangka pendek," katanya.
Mengulas lanjut katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa nilai ringgit mampu utk mengakhiri sesi dagangan 2020 pada paras sekitar RM4.20.
Dalam pada itu Dr Afzanizam turut menjangkakan yang FTSE Russell akan mengekalkan bon Malaysia dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia, yang keputusannya dijangka diumumkan minggi ini.
"Ini kerana Bank Negara Malaysia (BNM) sentiasa menambah baik pasaran kewangan negara. Selain itu, data menunjukkan pemilikan asing di dalam hutang kerajaan Malaysia juga semakin meningkat.
"Ini menunjukkan seolah-olah adanya 'vote of confidence' atau undi kepercayaan terhadap keupayaan kerajaan dalam melunaskan hutang-hutangnya," katanya.
Sumber : Ringgit rekod paras tertinggi tujuh bulan berbanding dolar AS
0 Comments