Dokumentari '76 Days' tampil kisah benar COVID-19 di Wuhan

LOS ANGELES: Dokumentari terbesar pertama mengenai pandemik COVID-19 berkisarkan keadaan bandar Wuhan yang menjadi 'ground zero' ditayangkan buat pertama kali pada Festival Filem Toronto semalam.

Dokumentari bertajuk '76 Days' yang diilhamkan daripada tempoh 76 hari bandar itu melalui perintah berkurung, adalah hasil karya pertama berkaitan COVID-19 yang ditayangkan di panggung wayang.

Penghasilan dokumentari itu agak berbeza kerana ia dibuat tanpa ada elemen alih suara atau wawancara, sebaliknya memaparkan rakaman detik mendebarkan dihadapi doktor dan pesakit yang saling bergelut ketika rawatan di hospital.

Pada Februari lalu, video itu dirakam oleh dua pembuat filem China yang mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) hazmat bagi merakam pelbagai detik cemas berkaitan penularan wabak itu ketika berada di hospital di Wuhan.

Ini termasuk rakaman mengerikan apabila penduduk mengetuk pintu hospital, petugas perubatan rebah akibat keletihan dan saudara mara pesakit disahkan COVID-19 merayu supaya dapat bertemu dengan ahli keluarga buat kali terakhir.

Rakaman video terbabit disunting dengan kerjasama pengarah yang menetap di New York, Hao Wu.

Wu berkata, pertemuan pertamanya dengan kedua-dua pembuat filem itu berlaku selepas terkandas ketika melawat keluarga bagi meraikan Tahun Baru Cina pada fasa awal perintah berkurung dikuatkuasakan.

Katanya, rakaman berkenaan menunjukkan keadaan huru hara yang berlaku pada detik bermulanya pandemik berkenaan dan turut menyifatkan kedua-dua pembuat filem itu mengambil risiko yang cukup besar untuk merakam video berkenaan.

"Ia adalah pengalaman penggambaran yang sangat mengerikan bagi mereka, seolah-olah berada dalam zon perang.

"Mereka pengsan kerana terlalu panas dan ada ketikanya mahu membuang 'goggles' yang dipakai.

"Bagaimanapun, sekiranya sut PPE ditanggalkan, mereka akan diminta meninggalkan hospital dan tidak boleh kembali lagi," katanya kepada AFP.

Dokumentari tanpa unsur politik itu mengenengahkan kisah peribadi mengenai tragedi itu, yang mengangkat elemen keberanian, harapan dan sikap tidak putus asa dalam menghadapi pandemik global itu. - AFP



Sumber : Dokumentari '76 Days' tampil kisah benar COVID-19 di Wuhan

Post a Comment

0 Comments