Rakyat Malaysia di Yaman dinasihat jaga keselamatan

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di Yaman dinasihatkan menjaga keselamatan masing-masing berikutan ketegangan di wilayah Marib.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kementeriannya kini sedang memantau dengan dekat perkembangan yang berlaku di negara berkenaan.

"Malaysia mengambil berat dengan perkembangan terkini di Yaman yang mana pemberontak Houthi merancang menimbulkan konflik di beberapa kawasan, antaranya di Marib.

"Malaysia menggesa semua pihak menghentikan sebarang bentuk tindakan yang boleh menegangkan lagi keadaan. Kementerian Luar memantau perkembangan yang berlaku dan menasihatkan semua rakyat Malaysia di Yaman supaya menjaga keselamatan diri," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Hishammuddin berkata, Malaysia turut mengutuk serangan dron dan peluru balistik oleh pemberontak Houthi sejak beberapa minggu lalu.

Katanya, Malaysia mengulangi sokongan penuh kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menyelesaikan konflik di Yaman menerusi dialog dan diplomasi, sejajar dengan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2216 (2015).

Media antarabangsa melaporkan lebih 100 orang terbunuh, manakala puluhan lagi cedera dalam serangan dron dan peluru berpandu, didakwa dilakukan pemberontak Houthi di Yaman.

Serangan pada Sabtu lalu itu menamatkan ketenangan dalam tempoh beberapa bulan antara pemberontak Houthi dan kerajaan Yaman yang menerima sokongan pasukan gabungan diketuai Arab Saudi.



Sumber : Rakyat Malaysia di Yaman dinasihat jaga keselamatan

Post a Comment

0 Comments