England hampir "beku" di Iceland

REYKJAVIK: Gareth Southgate mengakui England terselamat selepas mengelak satu lagi keputusan memalukan apabila penalti Raheem Sterling memberikan kemenangan 1-0 di Iceland.

Selepas Sterling memecah kebuntuan pada minit ke-92 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA itu, Birkir Bjarnason gagal menyamakan kedudukan menerusi penalti dengan kedua-dua pasukan kehilangan seorang pemain pada 20 minit terakhir.

Empat tahun selepas malam paling memalukan dalam bola sepak Inggeris apabila England tewas 2-1 kepada Iceland di Euro 2016, The Three Lions sekali lagi tampil hambar pada perlawanan pertama mereka selepas 10 bulan.

Southgate menuntut Kyle Walker dan Joe Gomez belajar daripada kesilapan mereka yang hampir menjurus kepada kekalahan.

Dipanggil buat pertama kali tahun ini, Walker dilayangkan kad merah 20 minit sebelum tamat permainan kerana terjahan kasar.

Selepas mendahului permainan, Gomez pula menjatuhkan Holmbert Fridjonsson dalam kotak penalti.

"Dibuang padang adalah titik tolak kerana sukar untuk memenangi perlawanan apabila bermain 10 orang. Ia sepatutnya dielakkan," kata Southgate.

Sementara itu pengendali Iceland Erik Hamren merasakan perlawanan sepatutnya berakhir dengan keputusan seri.

"Sudah 40 tahun saya menjadi jurulatih dan ini terasa seperti kekalahan yang paling buruk," katanya. - AFP



Sumber : England hampir "beku" di Iceland

Post a Comment

0 Comments