Perak II catat kemenangan pertama di Manjung

MANJUNG: Perak II mencatat kemenangan pertama musim ini apabila menumpaskan Kuching FA 5-1 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Seri Manjung, malam ini.

Pasukan tuan rumah kendalian Abu Bakar Fadzim membuka tirai jaringan menerusi sepakan Khairul Asyraf Sahizah pada minit ke-15.

Sebelas minit kemudian Muhammad Nazmi Ahmad mudah menyempurnakan bola muntah penjaga gol pelawat, Mohd Iqbal Mohd Suhimi yang menepis rembatan Muhammad Syahir Bashah.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Akira Higashiyama memperkemaskan permainan namun beberapa percubaan gagal menemui penyudah.

Bermula babak kedua, kegembiraan Perak II berpanjangan apabila hantaran Sacha Petshi berjaya disudahkan Muhammad Adib Abdul Ra'op pada minit ke-49 yang menghadiahkan gol ketiga buat tuan rumah.

Pelawat akhirnya berjaya menewaskan penjaga gol tuan rumah, Shafiq Afifi Suhaimi hasil sepakan Joseph Kalang Tie pada minit ke-54 ketika situasi kelam-kabut di gawang Perak II.

Tiga minit selepas itu pasukan tuan rumah terus menambah derita pasukan pelawat apabila Muhammad Adib sekali lagi mencetak nama selaku penjaring melalui sepakan hasil balingan Suwarnaraj Chinniah ke dalam kawasan penalti.

Perak II bagaikan terus mendapat tonik tambahan apabila sepakan padu Sacha Petshi berjaya menewaskan penjaga gol pelawat, Mohd Iqbal pada minit ke-89.

Kedua-dua pasukan terus bernafsu mencari gol namun gagal diterjemahkan kepada jaringan dan keputusan kekal 5-1 sehingga tamat perlawanan.



Sumber : Perak II catat kemenangan pertama di Manjung

Post a Comment

0 Comments