Lang Merah teruskan rentak kemenangan

ALOR SETAR: Kedah naik ke kedudukan ketiga Liga Super selepas menewaskan Petaling Jaya FC (PJ City) 2-1 dalam perlawanan di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Kemenangan ketiga berturut-turut dilakar itu membuktikan semangat Lang Merah terus membara di sebalik isu baki tunggakan gaji membelenggu mereka sejak awal tahun ini.

PJ City bagaimanapun terlebih dahulu mengejutkan Kedah pada minit ke-15 apabila penyerang sensasinya, Washington Brandao membuat larian laju dan melepasi benteng Kedah seterusnya meledak dari kiri gawang menewaskan penjaga gol, Ifwat Akmal.

Tersentak dengan gol itu, Kedah bangkit memburu gol penyamaan dan akhirnya terhasil apabila penyerang Kpah Sherman yang mendapat umpanan daripada Rizal Ghazali, bijak memanfaatkan keadaan dengan memusingkan badannya lalu merembat menewaskan penjaga gol Kalamullah Al Hafiz pada minit ke-24.

Kedah meneruskan usaha memburu gol namun buntu memanfaatkan peluang mendapatkan gol tambahan yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga tamat separuh masa pertama.

Memulai babak kedua, Kedah kembali dengan penguasaan yang menyaksikan dua penyerangnya, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche mengasak gawang PJ City beberapa kali namun gagal.

Tchetche akhirnya memecah kebuntuan gol untuk Kedahapabila pada minit ke-67, penyerang kelahiran Ivory Coast itu mendapat peluang dengan merembat deras bola ke jaring dan kedudukan 2-1 kekal hingga tamat permainan.



Sumber : Lang Merah teruskan rentak kemenangan

Post a Comment

0 Comments