Hasleen dilantik CEO baharu SPNB

KUALA LUMPUR: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Hasleen Isnin sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu.

SPNB memaklumkan, Hasleen yang memiliki pengalaman lebih 25 tahun dalam sektor perbankan dan komersial, dilantik bagi tempoh dua tahun, menggantikan Datuk Seri Ahmad Azizi Ali yang tamat tempoh perkhidmatan.

Sebelum dilantik mengetuai SPNB, Hasleen yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam jurusan Ekonomi dan Ijazah Sarjana Kewangan dari Washington University, memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan Perbadanan PRIMA Malaysia antara 2012 hingga 2016.

"Beliau juga pernah berkhidmat di pelbagai institusi kewangan serta syarikat multinasional seperti Citibank Berhad dan Malaysian International Merchant Bankers Berhad dengan memegang jawatan di peringkat pengurusan.

"Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan Pengarah di Pejabat Presiden ketika berkhidmat di Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

"Beliau juga pernah dilantik menganggotai lembaga pengarah di beberapa syarikat seperti New Straits Times Press (NSTP), AMI Insurance, Business Day Co Ltd (Thailand) dan kini sebagai Lembaga Pengarah Perbadanan PRIMA Malaysia," jelas SPNB dalam satu kenyataan, hari ini.

SPNB adalah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) yang diwujudkan bagi menyediakan rumah mampu milik berkualiti untuk semua keluarga di Malaysia, selaras objektif perumahan negara.



Sumber : Hasleen dilantik CEO baharu SPNB

Post a Comment

0 Comments