Melaka lokasi Projek Kesedaran dan Demonstrasi Grid Pintar

AYER KEROH: Melaka terpilih antara 28 bandar di 11 negara sebagai lokasi pelaksanaan Projek Kesedaran dan Demonstrasi Grid Pintar.

Projek yang menempatkan sebuah bandar dilengkapi dengan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Inovatif (ICTI) dikendalikan Global Environment Facility (GEF6), iaitu sebahagian daripada komponen bagi Projek Pembangunan Bandar Lestari.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata GEF adalah pembiaya dana projek dan melantik United Nations Development Organization (UNIDO) sebagai pengurus projek di peringkat antarabangsa.

Sementara di peringkat nasional pula, katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kumpulan Industri Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dilantik sebagai agensi pelaksana.

Beliau berkata, Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) adalah rakan strategik di peringkat negeri, selain Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan TNB Research Sdn Bhd (TNBR).

"Projek grid pintar ini adalah inisiatif pendekatan bersepadu kepada semua pemegang taruh di Melaka untuk mencapai objektif pengurangan pelepasan gas rumah hijau yang berdasarkan konsep sifar kos kepada penyumbang teknologi.

"Inisiatif itu akan menambah baik asas pembangunan pintar terhadap amalan hijau bagi pengangkutan awam dan mobiliti di negeri ini, antaranya pengangkutan terdiri daripada kenderaan pelepasan bukan karbon seperti kereta elektrik," katanya selepas melancarkan Projek Kesedaran dan Demonstrasi Grid Pintar di Hotel Ames, di sini hari ini.

Yang turut hadir, EXCO Kerja Raya. Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri, Datuk Roslan Ahmad; Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, penyumbang teknologi akan mendapat manfaat daripada sistem berkenaan seperti akses kepada data masa nyata, pengurusan tenaga yang lebih efektif dan lebih berdaya harap, seterusnya membawa kepada program penjimatan tenaga yang berkesan.

Katanya, projek yang dilaksanakan MIGHT dan TNBR itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 930,000 penduduk di Melaka.

"Projek grid pintar ini menyediakan platform bagi rakan pelaksana untuk terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam komponen lain di bawah projek itu, termasuk pembangunan kerangka peraturan grid pintar dan input dasar, pembangunan kapasiti modal insan dan kempen peningkatan kesedaran projek grid pintar itu.

"Selain itu, ia mampu meningkatkan kesedaran, pemahaman dan pengetahuan rakan pelaksana dalam teknologi grid pintar untuk pembangunan tenaga lestari yang menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

"Pelancaran projek itu sememangnya satu inisiatif penting dalam memaksimumkan penggunaan teknologi tenaga lestari ke arah pembangunan bandar mampan, sejajar dengan misi kerajaan negeri iaitu Menuju Negeri Lestari, Kecemerlangan Duniawi dan Ukhrawi," katanya.



Sumber : Melaka lokasi Projek Kesedaran dan Demonstrasi Grid Pintar

Post a Comment

0 Comments