Hawar berdarah: Terengganu larang pindah ternakan tanpa kebenaran JPV

KUALA TERENGGANU: Mana-mana pihak dilarang melakukan aktiviti pemindahan ternakan dari kawasan dilanda penyakit hawar berdarah (HS) di negeri ini tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata kerajaan negeri memandang serius perkara itu kerana HS dikhuatiri terus merebak.

"Kita sangat bimbang, justeru kita melarang perbuatan memindahkan ternakan itu bagi memastikan kematian berskala besar tidak terus merebak ke kawasan lain.

"Kita meminta semua penternak, peraih atau sesiapa saja supaya tidak melakukan pemindahan ternakan dari daerah yang sedang dilanda wabak HS, ke daerah lain tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penguat kuasa JPV Terengganu berjaya menahan sebuah lori membawa dua kerbau, semalam, kerana disyaki cuba memindahkan haiwan itu dari daerah berlaku wabak berkenaan secara tanpa kebenaran.

"Tindakan boleh dikenakan mengikut Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953, Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Penyakit Hawar Berdarah kerana melakukan pemindahan tanpa kebenaran Pengarah JPV.

"Jika sabit kesalahan, mereka yang terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM15,000," katanya.

Beliau berkata, daerah terjejas dengan HS ketika ini ialah Marang dan Kuala Terengganu, namun aktiviti pemindahan ternakan dari daerah lain yang tidak terbabit juga perlu mendapatkan kebenaran JPV.



Sumber : Hawar berdarah: Terengganu larang pindah ternakan tanpa kebenaran JPV

Post a Comment

0 Comments