Kereta ditimpa besi menara kren terjatuh dari treler

PETALING JAYA: Sebuah kereta dipandu seorang wanita, ditimpa besi menara kren yang terjatuh dari sebuah treler di Jalan SS2/24, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5.45 petang itu, mangsa berusia 25 tahun bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Namun, PERODUA Myvi yang dipandu wanita itu mengalami kerosakan secara keseluruhan, termasuk bumbung, cermin hadapan dan bonet.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada bahagian hadapan treler itu yang tersangkut pada kabel telefon Telekom Malaysia (TM).

"Keadaan itu menyebabkan dua tiang telefon di Jalan SS2/54 tumbang dan kabel telefon tergantung merentangi Jalan SS2/24.

"Kejadian itu turut menyebabkan muatan besi menara kren yang dibawa treler itu terjatuh menimpa bahagian atas kenderaan mangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, beliau berkata, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan awal kepada mangsa, selain mengawal keadaan lalu lintas yang sesak teruk ketika itu.

"Mangsa sudah membuat laporan polis, manakala pemandu treler belum lagi tampil membuat laporan, setakat ini.

"Kertas siasatan sudah dibuka bawah Rule 19 (Kaedah Lalu Lintas) LN 166/59, iaitu muatan yang dibawa atas kenderaan jatuh dan mengakibatkan kemalangan," katanya.



Sumber : Kereta ditimpa besi menara kren terjatuh dari treler

Post a Comment

0 Comments