Jangan ambil mudah status halal produk makanan

Setiap masyarakat memiliki budaya makanan tersendiri selari dengan pegangan agama, cita rasa dan tradisi turun-temurun, selain dipengaruhi keadaan alam sekeliling yang memudahkan untuk mendapatkan sumber makanan serta faktor cuaca panas atau sejuk.

Bagaimanapun, kesan globalisasi dan perkembangan teknologi makanan, pelbagai jenis makanan diimport ke dalam masyarakat termasuk di negara ini, sekali gus merancakkan konsumerisme.

Selari fenomena itu, selera orang Melayu mengalami evolusi daripada citarasa tempatan kepada antarabangsa, selain beradaptasi dengan hidangan makanan luar dari masa ke semasa.

Kuasa tular di media sosial baharu pula menyebabkan ia mendapat perhatian hingga ada pengguna sanggup beratur panjang bagi menikmatinya. Ironinya, kedinamikan cita rasa pengguna Melayu-Muslim kadangkala merentasi batasan halalan toyyiban yang digariskan syarak.

Ada premis atau makanan yang ditawarkan tiada sebarang pengesahan halal daripada pihak berautoriti. Justeru, sikap mengambil mudah aspek halalan toyyiban kian membimbangkan.

Baru-baru ini, isu biskut bijirin yang tular mengandungi bahan sumber babi. Begitu juga gula-gula yang dikeluarkan sejak 1940-an di China tetapi kini memasuki pasaran Malaysia secara meluas hingga menjadi pilihan dan kegemaran ramai pengguna Muslim.

Pihak pengeluar tidak membuat sebarang dakwaan status halal produk dan tidak pernah memohon status halal. Apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuat pengumuman status halal produk berkenaan, pengguna Muslim panik kerana analisis makmal mendapati terdapat sumber haram berasaskan khinzir.

Justeru dalam isu gula-gula terbabit, pengeluar tidak boleh dipersalahkan kerana mereka tidak meletakkan sebarang label halal terhadap produk berkenaan, sebaliknya senario itu menunjukkan tahap kesedaran halal pengguna Muslim masih rendah.

Jelasnya, sikap mengambil mudah aspek halalan toyyiban oleh pengguna Muslim boleh menjejaskan aspek spiritual dan fizikal. Pengambilan makanan syubhah dan haram akan memberi kesan besar terhadap pembangunan kerohanian, di samping menjejaskan pembentukan akhlak.

Islam meletakkan garis panduan halal haram jelas dalam pengambilan makanan minuman. Ia sebahagian tuntutan ibadah.

Firman Allah SWT: "Wahai orang beriman! Makanlah daripada benda baik (halal) yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. (Al-Baqarah: 172).

Begitu juga arahan memakan rezeki halal lagi toyyib (baik) kerana ia menjadi indikator keimanan. Firman Allah SWT: "Dan makanlah makanan halal lagi baik dari apa Allah rezekikan kepadamu dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya. (Al-Ma'idah: 88)

Di samping itu, Nabi Muhammad SAW bersabda: Ada empat keadaan, apabila keempatnya ada pada dirimu, maka segala urusan dunia yang luput darimu tidak akan membahayakanmu: Menjaga amanah, berkata benar, akhlak baik dan menjaga urusan makanan (halal). (Hadis riwayat Ahmad)

Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW, jelas menunjukkan panduan asas syariah dalam pengambilan makanan minuman, iaitu mengutamakan halal lagi tayyib. Di samping kandungannya suci dan berkualiti, makanan dan minuman halalan tayyiban terjamin selamat kepada pengguna sama ada daripada aspek ancaman bahaya bersifat fizikal juga spiritual.

Panduan ini juga selari dengan pandangan Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya' Ulumuddin yang menegaskan setiap orang Islam perlu mengutamakan sesuatu yang halal, menghindari sesuatu yang haram dan menjauhi setiap yang syubhat.

Pemilihan makanan halalan tayyiban sebenarnya jati diri seorang pengguna Muslim. Apatah lagi bagi masyarakat Melayu, budaya makanan diwarisi melambangkan falsafah unik untuk dihayati. Selain mengenyangkan perut, makanan dijamah juga punya simbolik tertentu agar jati diri Melayu-Muslim terpelihara dan tidak terjajah cita rasanya.

Jika pun ingin meniru budaya makan semasa berasaskan cita rasa antarabangsa seperti makanan Korea dan Jepun serta minuman Taiwan, pengguna Muslim wajib mengutamakan aspek halalan toyyiba.

Mereka juga perlu mengunjungi premis dan mengambil makanan serta minuman yang mendapat pensijilan halal diiktiraf. Malah melalui aplikasi Verify Halal dibangunkan JAKIM, pengguna kini boleh menyemak status halal dengan mudah melalui aplikasi dimuat turun ke dalam telefon pintar masing-masing.

Dengan itu, pengguna akan dapat menentukan status makanan minuman diambil tanpa waswas. Pada masa sama, mereka dapat menghindari daripada unsur syubhat dan haram.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya



Sumber : Jangan ambil mudah status halal produk makanan

Post a Comment

0 Comments