KUALA LUMPUR: Dalam teruja lagu Passcode bakal membawa dirinya menawan pasaran muzik antarabangsa, artis kelahiran Jerman, Jannine Weigel sedih detik bersejarah pelancaran single itu tidak dapat disaksikan ahli keluarga yang menetap di Thailand.
Jannine yang membesar di Thailand dan mencipta populariti sebagai pelakon, penyanyi dan model di negara itu, berkongsi emosi pada majlis pelancaran single berkenaan di Petaling Jaya, kelmarin.
"Terima kasih kepada mereka yang percaya bakat dan yakin dengan saya.
"Cuma saya agak sedih detik bersejarah ini tidak dapat disaksikan keluarga di Thailand. Pandemik COVID-19 menghalang mereka merentas negara.
"Namun, saya tahu, jauh di sudut hati, mereka bangga dengan saya. Sejak dilanda pandemik ini, saya menetap di Malaysia dan tidak dapat pulang ke Thailand," katanya kepada BH Online.
Populariti, bakat dan pengaruh dimiliki Jannine menjadi antara sebab dirinya disunting menjadi artis pertama naungan, RedRecords.
Berusia 20 tahun dan membesar di Thailand, Jannine menjadi taruhan RedRecords yang ditubuhkan akhir tahun lalu dan disokong syarikat penerbangan, AirAsia dalam mencungkil bakat baharu di rantau Asean, dengan kerjasama Universal Music Group.
RedRecords optimis menjadi pemacu genre digelar Asia Pop atau A-Pop yang melatari nuansa muzik Weigel.
Single Passcode sangat istimewa kerana mendapat sentuhan penerbit antarabangsa, Tommy Brown yang pernah mendapat pencalonan Anugerah Grammy.
Malah, Brown terkenal dengan hasil kerja bersama Ariana Grande, Chris Brown, Fifth Harmony dan ramai lagi.
Lagu itu juga dihasilkan bersama penyanyi Jessie Reyez dan John O yang juga bekas penyanyi utama kumpulan Paperplane Pursuit.
Berkongsi pengalaman merakamkan single Passcode, Jannine berkata, dia bertemu Brown di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS), Februari lalu.
"Saya berpeluang menghabiskan masa berharga di studio rakaman miliknya. Malah, sebelum pulang, Brown menyerahkan demo lagu. Salah satunya adalah lagu Passcode yang sejak awal lagi, 'menangkap' hati saya.
"Disebabkan COVID-19, proses rakaman lagu ini dilakukan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. Semuanya dilakukan atas talian menghubungkan Kuala Lumpur dan LA.
"Pada akhirnya, projek ini mampu disempurnakan biarpun tanpa perlu terbang ke AS. Segala-galanya tidak mustahil... Pandemik ini bagai memberi hikmah tersembunyi," katanya.
Jannine menyifatkan Brown jejaka yang menyenangkan.
"Dia sangat selamba, peramah dan paling utama, terbuka serta menghormati idea orang lain termasuk saya," katanya.
Tambah Jannine, Passcode disifatkan sebagai simbol cintanya yang bukan sembarangan dan pintu hati hanya dapat dibuka insan yang ikhlas menyayangi.
"Saya masih berhati-hati dalam soal cinta. Saya tidak suka main-main dan membazir masa. Saya suka berterus terang," katanya.
Sementara itu, RedRecords meletakkan strategi membawa Jannine ke pasaran antarabangsa. Syarikat itu menjalinkan kerjasama dengan Def Jam Recordings yang juga label ikonik artis ternama seperti Kanya West, Justin Bieber dan Alessia Cara.
Pelancaran single Passcode dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif RedRecords, Hassan Choudhury.
Lagu Passcode boleh didapati di semua platform digital. Video muzik yang dihasilkan di Malaysia juga dilihat bertaraf antarabangsa.
Sumber : Jannine popularkan A-Pop di pasaran antarabangsa
0 Comments