Ujian getir Man City di laman Wolves

LONDON: Manchester City kendalian Pep Guardiola akan memulakan kempen Liga Perdana mereka musim ini dengan kunjungan ke laman Wolverhampton Wanderers esok.

Musim lalu, City tewas dua kali di tangan Wolves daripada sembilan kekalahan liga, menyebabkan mereka gagal mempertahankan kejuaraan dan ketinggalan 18 mata di belakang juara Liverpool.

Guardiola sedar City tidak boleh tercicir mata musim ini jika mahu menamatkan penguasaan Liverpool kendalian Jurgen Klopp.

Kegagalannya menangani masalah pertahanan City dan sering melakukan eksperimen di bahagian tengah serta serangan menambahkan lagi kekeliruan dan kekecewaan dalam skuadnya.

Hanya Kevin De Bruyne menikmati musim cemerlang bersama City dan perancang Belgium itu tidak mampu memacu pasukan seorang diri.

"Sejak hari pertama tiba di sini, saya cukup berpuas hati dengan pasukan dan kelab melakukan yang terbaik untuk saya dan juga pasukan.

"Jika kita terpaksa kekal bersama pemain sedia ada, saya tetap gembira. Jika ada perpindahan, ia atas permintaan pemain itu sendiri.

"Saya tidak akan pernah merungut. Saya bertuah mempunyai pemain-pemain ini dan bersama kelab," kata Guardiola.

Kegagalan City menggantikan Vincent Kompany tahun lalu ternyata membawa padah dan keadaan bertambah buruk dengan kecederaan jangka panjang yang menimpa Aymeric Laporte.

Penjaring terbanyak City Sergio Aguero masih belum pulih daripada kecederaan lutut dan hanya akan kembali dua bulan lagi. - AFP



Sumber : Ujian getir Man City di laman Wolves

Post a Comment

0 Comments