Kabinet tubuh Majlis Khas mengenai hak Sabah, Sarawak

SIBU: Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional (PN) komited memastikan hak negeri Sabah dan Sarawak seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terpelihara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sejak awal pembentukan Kabinet kerajaan PN, beliau mewujudkan satu portfolio khusus yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, bagi memastikan hak rakyat dua negeri itu dikembalikan, mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 September lalu bersetuju untuk menubuhkan Majlis Khas Mengenai MA63.

"Majlis Khas itu akan membincangkan isu-isu yang berkait dengan hak negeri Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63 antaranya kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu, hak negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan Laporan Intergovernmental Committee, keselamatan negeri dan pendidikan.

"Majlis Khas ini akan dibantu oleh jawatankuasa sedia ada yang ditubuhkan di peringkat kementerian dan agensi persekutuan berdasarkan isu-isu yang berkaitan," katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia di sini malam ini.

Muhyiddin berkata, beliau sendiri akan mempengerusikan Majlis Khas itu dan dianggotai oleh Ketua Menteri Sarawak dan Sabah serta Menteri-Menteri Persekutuan.

"Ahli-ahli yang lain akan dilantik mengikut kesesuaian, kelayakan dan bidang kepakaran masing-masing.

"Saya berharap agar penubuhan Majlis Khas ini akan dapat merungkaikan beberapa isu yang masih tertangguh berhubung hak dan kedudukan negeri Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat MA63 dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, usaha untuk membangun dan memajukan Sabah dan Sarawak diteruskan dan dipertingkat lagi dengan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

"Isu yang dianggap sukar untuk diselesaikan boleh diselesaikan dengan baik apabila Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sehaluan dan sehati sejiwa.

"Saya percaya apabila Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sehaluan, yang untung ialah rakyat," katanya.

Muhyiddin berkata, kesepakatan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri itu dapat dilihat dalam penyelesaian isu cukai jualan negeri Sarawak terhadap produk petroleum dengan PETRONAS.

"Kerajaan Sarawak menerusi Datuk Patinggi Abang Johari berunding dengan PETRONAS untuk mencapai kata sepakat mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum di Sarawak dan ia berjaya diselesaikan dengan beberapa perincian yang sedang dibincang oleh kedua-dua pihak," katanya sambil memberi jaminan rundingan dengan Sabah akan dimulakan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah.

Mengenai kedaulatan wilayah, Muhyiddin berkata, Kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan tanpa sebarang kompromi.

"Saya ingin tegaskan bahawa Sabah dan Sarawak akan terus kekal berada dalam Malaysia dan Kerajaan Persekutuan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang cuba mempertikai kedaulatan negara kita.

"Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara dan agensi-agensi penguatkuasaan memikul tanggungjawab bersama untuk terus mempertingkatkan kawalan sempadan negara bagi mengekang sebarang cubaan untuk menceroboh dan mengancam kedaulatan negara," katanya.



Sumber : Kabinet tubuh Majlis Khas mengenai hak Sabah, Sarawak

Post a Comment

0 Comments