SEPANG: Peserta baharu dalam sektor penerbangan kargo tempatan, My Jet Xpress Airlines Sdn Bhd (MyJet) bercadang untuk menambah dua pesawat dalam usahanya meningkatkan pendapatan dan keuntungan berikutan permintaan tinggi bagi perniagaan kargo.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Hisham Abdul Wahab, berkata satu pesawat dirancang akan dibeli pada suku keempat tahun ini, manakala satu lagi pesawat pada suku kedua 2020.
Beliau berkata, syarikat itu ketika ini mempunyai dua pesawat dengan kekerapan penerbangan tujuh kali seminggu ke Sabah dan Sarawak termasuk penerbangan antarabangsa ke Singapura, Indonesia dan Vietnam.
"Tidak semua industri penerbangan menerima impak negatif disebabkan pandemik COVID-19. Operasi kargo antara yang mencatatkan peningkatan positif disebabkan pandemik itu. Permintaan penghantaran meningkat dua kali ganda berbanding sebelum ini. Operasi penerbangan kami juga perlu dipertingkatkan bagi menampung permintaan.
"Kami juga mendapat kontrak penghantaran daripada beberapa syarikat perkhidmatan penghantaran antarabangsa. Namun kita masih tidak dapat meramalkan situasi sebenar pandemik ini dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
"Bagaimanapun syarikat bersedia berhadapan dengan situasi terbabit," katanya selepas taklimat media mengenai penerbangan kargo MyJet di sini, hari ini.
Azrul Hisham berkata, penambah pesawat itu juga bagi membolehkannya menampung permintaan penghantaran yang semakin meningkat selain meneroka laluan baharu seperti China dan Indo-China.
Beliau berkata, China menjadi laluan penerbangan kargo yang berpotensi tinggi untuk eksport barangan ke China dan juga import ke Malaysia.
MyJet juga, katanya terus meneroka peluang kerjasama dengan syarikat perkhidmatan penghantaran antarabangsa.
"Peluang untuk pertumbuhan penerbangan kargo ini adalah pelbagai. Sebagai contoh, jika penerbangan penumpang antarabangsa masih tidak dapat dilaksanakan ditambah sekatan kemasukan rakyat daripada beberapa negara, ini akan memberi kelebihan kepada operasi kargo.
"Barangan yang selama ini dapat dibawa oleh penumpang, akan dihantar menggunakan penerbangan kargo. Begitu juga dengan peningkatan pembelian e-dagang. Secara tidak langsung permintaan pengangkutan kargo akan meningkat bagi memenuhi permintaan ini," katanya.
Sumber : MyJet rancang beli pesawat baharu tampung permintaan tinggi kargo
0 Comments