PAS bukan 'hotel persinggahan' - Abdul Hadi

KOTA BHARU: PAS tetap menjadi parti yang kuat dan utuh walaupun diuji pelbagai cabaran termasuk dikhianati oleh mereka yang pernah bersama dengan parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menegaskan parti itu bukanlah sebuah 'hotel persinggahan' apabila ada yang sanggup keluar parti hanya kerana merasakan kedudukan PAS tergugat.

"Mereka jadikan PAS sebagai 'hotel persinggahan' kerana mereka mahukan kemenangan yang mudah, tetapi PAS dengan perjuangan Islam tetap utuh dan tidak pernah jatuh.

"PAS cukup matang dalam berpolitik kerana kita pernah bertahaluf (kerjasama) dengan banyak parti sejak dulu dan walaupun meninggal serta ditinggalkan mereka, kita tetap istiqamah dan terus matang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan PAS Ke-66 di Pusat Tarbiah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di sini, hari ini.

Abdul Hadi turut mengambil contoh Kelantan yang menang pada pilihan raya umum 1990 ketika bertahaluf dengan Semangat 46 yang kemudiannya parti itu dibubarkan, namun PAS tetap teguh di negeri terbabit sehingga sekarang.

"Kerana perjuangan kita yang istiqamah inilah, kita tetap berdiri dan akhirnya kita merampas Terengganu dan juga bersama Perikatan Nasional (PN) di Kedah.

"Justeru, kita akan mengambil pendekatan dengan menerangkan kepada semua rakyat di negara ini mengenai perjuangan Islam agar mereka yang bukan Islam dapat memahami keadaan itu dan bukannya membuat tafsiran yang kononnya Islam adalah kolot," katanya.



Sumber : PAS bukan 'hotel persinggahan' - Abdul Hadi

Post a Comment

0 Comments