Pemeriksaan awam perubahan MRT Laluan Putrajaya dibuka hingga Disember

KUALA LUMPUR: Orang ramai boleh memeriksa pelan konteks tapak kerja dan dokumen berkaitan yang menunjukkan pengubahsuaian kepada projek MRT Laluan Putrajaya yang sebelum ini dikenali Laluan MRT Sungai Buloh Serdang-Putrajaya bermula esok hingga 17 Disember ini.

Dokumen berkaitan projek itu akan dipamerkan di pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Tingkat Bawah Menara Tun Ismail Mohamed Ali, Jalan Raja Laut, di sini dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dalam kenyataan hari ini menyebut, pengubahsuaian kepada laluan itu adalah hasil daripada pelaksanaan rasionalisasi kos oleh kerajaan bagi projek infrastruktur mega pada tahun 2018.

Di bawah rasionalisasi itu, kos pembinaan Laluan MRT Putrajaya dapat dikurangkan sebanyak RM8.82 bilion daripada RM39.35 bilion kepada RM30.53 bilion.

"Pengubahsuaian kepada skim keretapi asal (MRT Laluan Putrajaya) dapat dilakukan kerana peralihan pendekatan pembinaan projek daripada bina-untuk-kapasiti kepada pembinaan mengikut permintaan, berdasarkan semakan semula jangkaan bilangan penumpang oleh APAD," kata kenyataan itu.

Antara pengubahsuaian yang akan dilakukan adalah penangguhan pembukaan stesen bawah tanah Bandar Malaysia Utara dan Bandar Malaysia Selatan, penangguhan atau penyemakan semula pintu-pintu masuk stesen dan jejambat pejalan kaki, penangguhan kemudahan tempat letak kenderaan bertingkat yang akan diganti dengan kemudahan tempat letak kenderaan atas tanah, dan lain-lain.



Sumber : Pemeriksaan awam perubahan MRT Laluan Putrajaya dibuka hingga Disember

Post a Comment

0 Comments