Lagu Saya Anak Malaysia diberi nafas baharu

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara melancarkan video lagu 'Saya Anak Malaysia' yang disusun dan dinyanyikan semula 26 artis tempatan berbilang bangsa serta usia bagi menyemarakkan semangat perpaduan menjelang sambutan Hari Malaysia.

Kementerian berkenaan turut menganjurkan pertandingan fotografi serta video bertemakan 'Saya Anak Malaysia' dan 'Malaysia Prihatin' bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat selain mencungkil bakat dalam bidang itu, mulai 16 September hingga 4 Oktober ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata pihaknya sedar bahawa rakyat Malaysia amat kreatif dalam meluahkan rasa cinta dan sayang kepada negara.

"Melalui lagu popular 'Saya Anak Malaysia', kementerian ingin mengambil peluang bagi menggalakkan rakyat berkongsi makna perpaduan dengan cara kreatif mereka tersendiri.

"Pertandingan ini juga diharap akan dapat menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat bagi sambutan Hari Malaysia, tahun ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Video 'Saya Anak Malaysia' boleh dimuat turun di laman web dan media sosial kementerian, selain orang ramai diminta menghayati serta menghargai perpaduan negara ditampilkan melalui lagu itu.

"Pertandingan fotografi dan video ini juga adalah antara inisiatif kementerian untuk menggalakkan rakyat menzahirkan pengertian perpaduan di Malaysia secara kreatif dan tersendiri melalui lensa kamera.

"Rakyat dijemput menyertai pertandingan ini dengan memuat naik gambar atau video berdasarkan tema 'Saya Anak Malaysia' dan 'Malaysia Prihatin' di laman sosial masing-masing, berserta tanda pagar #SayaAnakMalaysia2020 serta #MalaysiaPrihatin," katanya.

Bagi penyertaan video, peserta perlu menyertakan nama penuh, nombor telefon, akaun media sosial dan pautan 'link' kepada video mereka, kemudian hantarkan kepada email: [email protected]. Setiap karya dikongsikan hendaklah mencerminkan perpaduan rakyat Malaysia.

Bagi maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi Kementerian Perpaduan Negara di www.perpaduan.gov.my atau laman Facebook rasmi https://ift.tt/2RwHksY atau @PerpaduanNegara.



Sumber : Lagu Saya Anak Malaysia diberi nafas baharu

Post a Comment

0 Comments