Ratusan tunjuk perasaan bantah perjanjian UAE, Bahrain dengan Israel

RAMALLAH: Ratusan rakyat Palestin mengadakan bantahan terhadap pemeteraian perjanjian menjalinkan hubungan antara Israel dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain di Rumah Putih, Amerika Syarikat (AS), semalam.

Sambil menggenggam erat bendera Palestin dan memakai pelitup muka untuk mengelakkan jangkitan COVID-19, penunjuk perasaan berarak di bandar Tebing Barat, Nablus serta Hebron, dan Semenanjung Gaza.

Ratusan orang turut menyertai tunjuk perasaan di Ramallah yang menempatkan Pihak Berkuasa Palestin.

Mereka tidak ketinggalan membawa sepanduk tertera perkataan seperti 'Khianat', 'Tidak kepada hubungan dengan penjajah (Israel)' dan 'Perjanjian memalukan'.

Keputusan UAE dan Bahrain itu telah memecahkan konsensus selama berdekad-dekad di dunia Arab bahawa perjanjian damai dengan Palestin adalah prasyarat untuk menjalinkan hubungan bersama Israel.

Di Gaza, penunjuk perasaan memijak serta membakar gambar Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu; Raja Bahrain, Hamad Isa Al-Khalifa; dan pemerintah de facto UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan.

"Kami katakan kepada rejim Bahrain serta UAE bahawa normalisasi ini adalah pengkhianatan total terhadap perjuangan Palestin dan harapan bangsa Arab," kata pegawai Islamic Jihad di Gaza, Ahmad al-Medalal.

Kelmarin, Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh, menegaskan bahawa pemeteraian perjanjian dengan Israel itu menandakan 'hari hitam' bagi dunia Arab.

Israel dan AS telah memberi tekanan ke atas negara Teluk selama bertahun-tahun supaya menjalinkan hubungan dengan rejim itu, terutama berikutan permusuhan mereka terhadap Iran.

Sebelum ini, Israel telah menandatangani perjanjian damai dengan dua negara Arab, iaitu Mesir serta Jordan masing-masing pada 1979 dan 1994. - AFP



Sumber : Ratusan tunjuk perasaan bantah perjanjian UAE, Bahrain dengan Israel

Post a Comment

0 Comments