PM jujur bangunkan Sabah

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yasin membuktikan kejujurannya membangunkan Malaysia terutama Sabah, bagi melihat negeri itu menerima impak pembangunan yang sama seperti Semenanjung.

Penganalisis ekonomi yang juga Felo Akademi Sains Malaysia, Dr Madeline Berma, berkata pendekatan itu dibawa Perdana Menteri dalam ucapannya termasuk ketika membentang manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

"Saya yakin Perdana Menteri jujur dalam keinginan dia untuk membangunkan Malaysia menerusi pendekatannya iaitu kemakmuran bersama.

"Ungkapan seperti kemakmuran bersama sering disebutnya. Ia juga dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

"Kalau ia diletakkan dalam dokumen rasmi, maknanya ada komitmen dan kesungguhan di situ. Beliau pun sebut, (orang) Sabah dan Sarawak boleh semak ini, maknanya janji pertumbuhan ekonomi semak dan imbang ini sudah mula ada," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ruang Bicara: Ekonomi Kemakmuran Sabah terbitan BERNAMA TV yang disiarkan menerusi Facebook Live malam ini.

Menyentuh ekonomi dan pembangunan di Sabah, Madeline akui ia agak tercicir sedikit berbanding negeri lain di Semenanjung dan penyebab utama adalah jumlah penduduk dan keadaan geografinya.

Katanya, Sabah dan Sarawak memiliki keluasan yang lebih besar dari Semenanjung, namun jumlah penduduknya sedikit, menyebabkan dari sudut pelaburan ekonomi ia tidak begitu kompetitif.

"Kalau kita mengkaji geografi Sabah, salah satu faktor penduduk kecil, tapi negeri lebih besar dari Semenanjung. Dari segi ekonomi, apabila ada infrastruktur yang banyak, kita perlu penduduk, dan kita perlu juga pulangan, bukan melabur saja.

"Kalau kita guna pendekatan ekonomi saja, sampai bila Sabah dan Sarawak nak ada pembangunan. Maknanya, yang penting adalah bagaimana kita agih peruntukan mengikut keperluan. Kita boleh beri sama rata sebab kita ada 14 negeri.

"Kita bagi sama banyak dengan Selangor, Perlis dan lain-lain tetapi yang dilakukan kita adalah kesaksamaan, iaitu diberi mengikut keperluan," katanya.



Sumber : PM jujur bangunkan Sabah

Post a Comment

0 Comments