
BANGKOK: Selepas lebih 100 hari sifar kematian akibat COVID-19, Thailand merekodkan satu kes maut hari ini membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 54 tahun yang kembali dari Arab Saudi, awal bulan ini.
Ketika mengesahkan perkara itu pada sidang media di sini, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perubatan, Dr Somsak Akksilp berkata, lelaki terbabit bertugas sebagai penterjemah di Kementerian Buruh di Riyadh.
Katanya, lelaki terbabit dijangkiti COVID-19 pada Julai lalu dan dirawat di Hospital King Fahd di Riyadh.
"Pesakit yang mempunyai gejala pneumonia itu bergantung kepada bantuan pernafasan sejak 10 Ogos lalu dan keluarganya memohon dia dibawa balik ke Thailand.
"Pesakit yang diuji negatif COVID-19, tiba di Bangkok pada 1 September dan terus dihantar ke sebuah hospital untuk menerima rawatan," katanya.
Beliau menambah, keadaan pesakit bertambah buruk dan disahkan meninggal dunia tengah hari tadi, iaitu kematian ke-59 di Thailand.
"Pesakit mempunyai sejarah perubatan menghidap diabetes, darah tinggi serta masalah kolestrol. Jangkitan COVID-19 memburukkan lagi keadaannya.
"Ia menyebabkan jangkitan dalam darah serta kegagalan pelbagai organ sementara x-ray menunjukkan paru-parunya rosak," katanya.
Perkembangan terbaru ini menjadikan jumlah kes kumulatif COVID-19 di Thailand sebanyak 3,497 kes dengan 59 kematian. - BERNAMA
Sumber : COVID-19: Thailand catat kematian pertama selepas 100 hari
0 Comments