MEF mahu subsidi upah dilanjut ke akhir tahun

SHAH ALAM: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berharap Program Subsidi Upah (PSU) yang dijadualkan berakhir bulan ini, dilanjutkan sehingga akhir tahun.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan, berkata ramai majikan swasta mengalami kesukaran mendapatkan aliran wang tunai dan ia mungkin akan membabitkan pemberhentian pekerja.

Katanya, program itu dilihat mampu membantu majikan terus bernafas, ketika negara sedang menghadapi masalah ekonomi susulan beberapa tindakan drastik kerajaan menangani penularan COVID-19.

"Syarikat dibantu oleh kerajaan dan mereka boleh kekalkan pekerja. Kalau pekerja diberhentikan pada masa sekarang, sukar juga mendapat kerja baharu dan secara tidak langsung (program subsidi) ia membantu untuk mengurangkan kadar pengangguran (jika dilanjutkan)," katanya.

Pada 23 Jun lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Andul Aziz berkata, Program Subsidi Upah, yang dilaksanakan kerajaan untuk menangani impak COVID-19 ke atas ekonomi negara menyelamatkan 2.4 juta pekerjaan.

Pada Julai lalu, kerajaan dilaporkan tidak berhasrat melanjutkan tempoh PSU melebihi enam bulan kerana langkah holistik dan proaktif sudah diambil untuk mengatasi masalah menimpa majikan serta pekerja akibat penularan COVID-19.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dipetik sebagai berkata, kerajaan setakat ini menyalurkan bantuan kepada golongan terjejas, selain memperkenalkan pelbagai program untuk memastikan sektor terkesan memperoleh peluang lain.

Sementara itu, Shamsuddin berkata, jumlah bayaran subsidi upah hanyalah 12 peratus daripada keseluruhan gaji di sektor swasta dan mencadangkan kalau boleh kerajaan meningkatkan kadar itu.

"Kalau dibandingkan di United Kingdom, program seumpama ini adalah sebanyak 80 peratus dari keseluruhan gaji di sektor swasta yang dibayar kepada pekerja, manakala di Singapura, 75 peratus dari jumlah keseluruhan gaji di sektor yang sama. - BERNAMA



Sumber : MEF mahu subsidi upah dilanjut ke akhir tahun

Post a Comment

0 Comments