PM kagum kegigihan 3 usahawan kecil Pangkor

PANGKOR: Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dalam kunjungan singkat ke pulau ini hari ini, melahirkan rasa kagum dengan kegigihan tiga usahawan kecil yang tidak pernah mengalah ketika berhadapan cabaran dan kekangan impak pandemik COVID-19.

Perdana Menteri mengunjungi gerai tiga usahawan di bawah bimbingan program [email protected], sebuah program 'fast-track' Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) itu selepas mempengerusikan mesyuarat NCIA, di sini.

Katanya, beliau tertarik dengan bakat seni kraf Mohd Arshad Yusop, 44, yang menjual cenderamata seperti topi, topi keledar, sarung pisau, sarung pedang dan lampu hiasan diperbuat daripada ikan buntal di gerainya di Kota Belanda, Kampung Teluk Gedung, sejak lapan tahun lalu.

"Bekalan ikan buntal segar yang dibeli daripada nelayan setempat akan dibuang isi dan dijahit semula sebelum dimasukkan belon, diawet dan dikeringkan," katanya turut kagum dengan kegigihan keluarga Ismail Arshad, 62, yang menjalankan perusahaan minyak dan air gamat.

MUHYIDDIN melawat ke Kilang Hasil Laut Pak Su sempena lawatan kerja beliau di Kampung Sungai Pinang Kecil. - Foto BERNAMA
MUHYIDDIN melawat ke Kilang Hasil Laut Pak Su sempena lawatan kerja beliau di Kampung Sungai Pinang Kecil. - Foto BERNAMA
MUHYIDDIN Yassin melawat ke Pameran Kraftangan Ikan Buntal sempena lawatan kerja beliau di Kota Belanda. - Foto BERNAMA
MUHYIDDIN Yassin melawat ke Pameran Kraftangan Ikan Buntal sempena lawatan kerja beliau di Kota Belanda. - Foto BERNAMA

Melalui Facebooknya, Muhyiddin berkata, ahli keluarga Ismail mencari sendiri gamat hidup di perairan Pulau Pangkor sebagai bahan dua produk terbabit sejak 20 tahun lalu dan kini mampu menghasilkan kira-kira 1,000 liter minyak gamat sebulan dengan pendapatan hampir RM12,000 sebulan.

Seorang lagi usahawan yang menarik perhatian Perdana Menteri ialah Rasdi Ibrahim atau lebih mesra dengan panggilan Pak Su, pemilik Sate Ikan Pak Su Enterprise di Jeti Sungai Pinang Kecil yang menjual produk makanan berasaskan hasil laut.

"Saya kagum dengan Pak Su, satu-satunya usahawan Bumiputera di Pulau Pangkor yang berjaya menghasilkan produk sate ikan menggunakan teknologi 'solar thermal', disediakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi menjamin kebersihan dan mematuhi kriteria bagi pensijilan halal.

"Dengan pendapatan mencecah RM200,000 sebulan, Pak Su kini berupaya menggaji 12 pekerja terdiri daripada anak tempatan pulau ini," katanya berharap kegigihan tiga usahawan itu menjadi contoh kepada usahawan lain di pulau ini.



Sumber : PM kagum kegigihan 3 usahawan kecil Pangkor

Post a Comment

0 Comments