PSG tumbang lagi, Neymar dibuang padang

PARIS: Florian Thauvin menamatkan deretan 20 perlawanan tanpa kemenangan Marseille ke atas Paris Saint-Germain (PSG) yang sekali lagi tewas 0-1 dalam aksi yang dicemari insiden pergaduhan.

Juara Ligue 1 itu turut menyaksikan bintangnya Neymar yang baru kembali daripada kuarantin dibuang padang selepas bertindak balas kepada ejekan berbaur perkauman.

Pemain sayap Perancis Thauvin terlepas hampir semua perlawanan musim lalu akibat kecederaan buku lali tetapi rembatannya pada minit ke-31 di Stadium Parc des Princes memberikan kemenangan pertama ke atas PSG sejak November 2011.

"Ia kemenangan penting, ia bersejarah. Kemenangan yang bagus, sengit dan jelas sekali yang sukar," kata pengendali Marseille, Andre Villas-Boas.

PSG, yang tewas pada final Liga Juara-Juara kepada Bayern Munich bulan lalu, kini tewas dua perlawanan pertama musim ini tanpa menjaringkan gol buat pertama kali sejak musim 1978-79.

Tugas berat menanti skuad kendalian Thomas Tuchel yang akan mengharungi jadual padat bulan ini, dengan Neymar berdepan penggantungan kerana menampar pertahanan Marseille, Alvaro Gonzalez dalam pergaduhan yang berakhir dengan lima kad merah.

"Tidak ada ruang untuk perkauman dalam bola sepak tetapi saya tidak rasa itu puncanya... kami akan melihatnya," kata Villas-Boas.

Pemain PSG yang dilayangkan kad merah ialah Neymar, Layvin Kurzawa dan Leandro Paredes manakala dari Marseille ialah penyerang Argentina, Dario Benedetto dan bek kira, Jordan Amavi.

- AFP



Sumber : PSG tumbang lagi, Neymar dibuang padang

Post a Comment

0 Comments