PAPITA belum tumbang

KUALA LUMPUR: Bergerak 'senyap-senyap' atau 'low profile' bukan bererti Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) sudah berkubur.

Ramai mungkin melihat PAPITA umpama 'hidup segan mati tak mahu' selepas pemergian bekas presiden, Allahyarham Datuk M Daud Wahid, dua tahun lalu.

Namun, itu sekadar persepsi orang luar. Bagi penggiat muzik, PAPITA dianggap 'dahan' untuk bergantung harapan.

Sejak dua tahun lalu, persatuan yang memperjuangkan nasib penyanyi, penulis lagu dan pemuzik itu diterajui presiden baharu, Datuk Malek Ridzuan.

Malek berkata, PAPITA masih wujud, tetapi tidak seaktif persatuan seni lain kerana kebanyakan aktiviti dan bantuan yang dihulurkan tidak digembar-gemburkan.

"PAPITA adalah persatuan pertama yang menghulurkan sumbangan kepada pasukan barisan hadapan ketika pandemik COVID-19 menular.

"Saya keluarkan bajet sebanyak RM200,000 pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Kami menghantar bantuan berbentuk sanitasi, pelitup muka, peralatan perlindungan diri (PPE) dan pelbagai lagi untuk keperluan hospital seluruh Lembah Klang.

"Kemudian PAPITA menghantar bekalan makanan kepada ahli yang memerlukan terutama artis veteran. Kebanyakan sumbangan dihantar oleh Datuk Hattan dan Datuk Nash ke rumah mereka.

"Bagaimanapun, ramai fikir PAPITA tidak melakukan apa-apa. Ini kerana saya lebih suka bersikap 'low profile'. Apa yang lebih penting, nasib ahli PAPITA tidak terabai dan terpinggir," katanya kepada BH Online.

Malek (tengah) ketika menyertai sesi perbincangan kluster industri kreatif bersama wakil persatuan seni yang lain. - Foto FB Malek Ridzuan
Malek (tengah) ketika menyertai sesi perbincangan kluster industri kreatif bersama wakil persatuan seni yang lain. - Foto FB Malek Ridzuan

Malek yang juga Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) berkata, PAPITA sentiasa mengambil berat kebajikan dan membela nasib kira-kira 1,000 anak seni sejak dahulu.

"Setiap sumbangan kewangan yang diperoleh semuanya diberi kepada ahli. Tiada seorang pun terkecuali, malah anak seni yang terbabit dengan teater turut menerima sumbangan ketika tempoh PKP dilaksanakan.

"Tentunya PAPITA mengutamakan ahli yang berdepan dengan kesukaran hidup. Kami peruntukkan bajet RM400 setiap seorang, selain mengagihkan bantuan keperluan asas," katanya.

Malek memberi senario ada persatuan yang aktif mencari publisiti, namun, pada hakikatnya, tidak ada apa-apa yang disumbangkan.

"Ada pihak menganggap PAPITA sudah tidak wujud. Tetapi cuba lihat, banyak persatuan mencari publisiti kononnya memberikan sumbangan kepada ahli, hakikatnya tiada apa pun.

"Saya lebih suka cara begini kerana tiada apa yang hendak digembar-gemburkan. Apa yang penting, PAPITA terlebih dahulu pergi ke hadapan membela nasib ahli dalam kesukaran," katanya.

Malek berkata, sebelum ini, dia pernah memperjuangkan hak untuk warga seni apabila mengusulkan kepada kerajaan agar pencen bernilai RM2,000 diagihkan kepada anak seni yang berusia lebih 55 tahun atas jasa yang dicurahkan.

"Anak seni banyak berjasa kepada masyarakat melalui muzik dan lakonan. Jika dilihat, berapa ramai anak seni berusia yang ada sekarang?

"Kalau ada, mungkin jumlah mereka sekitar 500 penggiat veteran. Berapa sangat peruntukan yang perlu dikeluarkan?

"Sekiranya kerajaan mampu mengeluarkan peruntukan puluhan juta untuk golongan miskin tegar, kos bayaran pencen anak seni hanya beberapa juta ringgit. Jadi, bagi saya, tiada masalah kerajaan mengeluarkan bajet itu," katanya.

Namun, Malek bersyukur akhirnya anak seni mendapat bantuan yang disalurkan kepada Yayasan Artis Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT).

"Walaupun tidak mendapat peruntukan seperti diminta, tetapi sekurang-kurangnya dapat membantu artis veteran yang memerlukan.

"Saya memang menggalakkan anak seni yang bergiat dalam industri muzik mendaftar sebagai ahli PAPITA.

"Kami adalah satu-satunya persatuan yang tidak mengenakan yuran penyertaan. Satu sen pun kami tidak ambil, sebaliknya yuran ditanggung PAPITA," katanya.



Sumber : PAPITA belum tumbang

Post a Comment

0 Comments