BARU-BARU ini, saya berkesempatan melawat beberapa sekolah Orang Asli. Pelajarnya sangat baik, sopan dan mendengar kata. Jelas terpancar semangat dan keinginan belajar daripada sinar mata mereka.
Mereka juga gembira belajar bersama rakan dan berinteraksi dengan guru serta mendapat makanan pada akhir waktu pelajaran. Mereka juga gembira dapat membawa makanan pulang dan berkongsi dengan ahli keluarga di rumah. Saya tidak menyangka kebahagiaan boleh hadir menerusi hal sederhana itu.
Namun, terdetik di hati, beberapa hal mengenai pendidikan Orang Asli. Saya terfikir apakah faktor menyebabkan taraf pendidikan mereka masih pada takuk lama selepas sekian lama usaha dijalankan. Aktiviti pembelajaran masih berkisar sekitar kemahiran Membaca, Menulis dan Mengira (3M) hingga akhir peringkat sekolah rendah.
Mereka tidak diletakkan harapan tinggi untuk berjaya dalam peperiksaan utama dan hanya segelintir meneruskan pelajaran ke peringkat menengah. Tidak dapat dinafikan memang ada yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading, tetapi peratusannya kecil dan bukan sesuatu yang kita boleh banggakan sebagai rakyat Malaysia.
Mereka juga tidak mempunyai impian selain meneruskan apa yang ahli keluarga mereka lakukan sebelum ini. Sampai bilakah anak Orang Asli ini akan meneruskan rantaian nasib diwarisi sejak berzaman?
Kajian demi kajian mengenai pendidikan Orang Asli dijalankan dengan pelbagai dapatan terlihat signifikan di atas kertas.
Namun, apa yang berlaku selepas itu? Apakah kajian ini menggambarkan realiti sebenar Orang Asli di lapangan? Sejauh mana kajian ini sudah, sedang dan akan membantu impian pendidikan Orang Asli?
Memang mudah menuding jari kepada ketidakinginan Orang Asli untuk berubah. Tidak susah juga mendakwa mereka lebih menggemari cara hidup yang dianggap primitif. Benar, sudah banyak dilakukan pelbagai pihak bagi membantu mewujudkan impian pendidikan Orang Asli.
Namun, persoalannya apakah yang boleh kita lakukan lagi untuk mereka? Apakah kita memberikan mereka insentif pendidikan secukupnya untuk keluar daripada kepompong kehidupan sekarang dan memutuskan rantaian nasib yang tidak membawa mereka ke mana-mana, seterusnya meyakinkan mereka untuk tidak mengabaikan impian pendidikan mereka serta meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi?
Apa lagi yang boleh kita lakukan menerusi pendidikan untuk menunjukkan hidup ini bukanlah sekadar berkenaan menangkap ikan, mengutip hasil hutan dan menghasilkan kraf tangan?
Mungkin sudah tiba masanya pihak berwajib merangka kurikulum khas untuk pendidikan Orang Asli demi memberdayakan mereka dan memastikan kelangsungan pendidikan. Isi kandungan kurikulum khas ini perlu merangkumi elemen mengiktiraf kepelbagaian cara hidup mereka, sambil membuka mata mereka kepada semua peluang, kejayaan serta kebahagiaan di dunia luar.
Mereka mungkin sangat gembira dan bahagia dengan kehidupan sekarang. Namun, tidak ada salahnya juga jika kita menerusi transformasi pendidikan Orang Asli, menunjukkan terdapat dunia lain yang menawarkan banyak peluang, kejayaan, kebahagiaan dan kegembiraan yang tidak mustahil untuk dikecapi di luar lingkungan komuniti mereka.
Nelson Mandela pernah berkata: "Pendidikan ialah senjata paling ampuh untuk mengubah dunia." Bantulah komuniti Orang Asli untuk mengubah dunia mereka menerusi pendekatan pendidikan baharu yang lebih dekat dengan kehidupan mereka, sambil meraikan indahnya segala kemungkinan di dunia luar.
Saya percaya semua rakyat mempunyai impian. Orang Asli juga sebahagian rakyat Malaysia dan mempunyai impian. Sempena Hari Malaysia ini, jangan biarkan impian pendidikan yang terabai terus menghiasi kehidupan mereka.
Mohamad Syafiq Ya Shak,
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak
Sumber : Rangka kurikulum khas pendidikan Orang Asli
0 Comments