Rumah kos rendah di Pekan Baharu Sukau

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah menerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) merancang membina rumah kos rendah di Pekan Baharu Sukau, membabitkan kawasan seluas 14 hektar.

Pembantu Menterinya, Datuk Zakaria Edris, berkata cadangan program pembangunan rumah kos rendah itu akan dikemukakan dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) yang akan datang.

"Kita memang mempunyai rancangan membina rumah kos rendah di Pekan Baharu Sukau. Program pembangunan ini akan diselaraskan dengan program pembangunan jabatan atau agensi kerajaan lain di pekan berkenaan.

"Kerajaan mengalu-alukan cadangan pembangunan perumahan awam sama ada kos rendah atau mampu milik di Pekan Baharu Sukau. Pembabitan lain-lain agensi seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) amat digalakkan oleh kementerian.

"Cadangan pembangunan perumahan di kawasan ini boleh dikemukakan kepada pihak kementerian untuk pertimbangan dan kelulusan," katanya menjawab soalan Datuk Saddi Abdul Rahman (BN-Sukau) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)) Sabah, hari ini.

Beliau menjawab soalan adakah LPPB atau agensi pembangunan perumahan mampu milik yang lain seperti SPNB dan PR1MA bercadang membina rumah kos rendah di Pekan Baharu Sukau.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, LPPB mempunyai cadangan pembangunan perumahan mampu milik secara usahasama dengan pemaju swasta dan diharap dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments