Amsyar kini sasar Sukan Komanwel, Asia

KUALA LUMPUR: Merangkul emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang lalu menyuntik semangat buat penerjun negara Ahmad Amsyar Azman untuk terus mengorak langkah mencipta kejayaan gemilang.

Amsyar mahu membuktikan bahawa anak Perlis juga mampu berjaya di pentas antarabangsa dengan temasya Sukan Asia dan Komanwel menjadi sandaran.

Justeru tiada istilah berehat buat penerjun negara itu yang kini sudah mula menjalani latihan keras dan bakal beraksi di Kejohanan Grand Prix Kuala Lumpur pada 26 Oktober ini.

Kata Amsyar, semangatnya semakin hari semakin kuat dan sentiasa mencari kelemahan serta berusaha keras semaksimum yang boleh agar impiannya bergelar atlet berjaya di pentas dunia dapat direalisasikan.

"Alhamdulillah, kami kini mula menjalani latihan seperti biasa dan semua program yang diberikan sangat sistematik dan saya sudah bersedia menempuh apa juga rintangan di setiap kejohanan yang akan datang.

"Jika boleh saya mahu terus memberikan pingat buat negara namun tidak mampu menjanjikan. Apa yang boleh saya akan melakukan yang terbaik dan Alhamdulillah jika diberi rezeki pingat tapi jika gagal pun Alhamdulillah kerana ia memberikan saya pengajaran untuk terus menjalani latihan lagi," katanya.

Amsyar berkata, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dengan jurulatih Yang Zhuling sentiasa memantau pergerakan dan latihan atlet.

"Saya gembira dapat berlatih dengan jurulatih seperti Yang Zhuliang. Beliau adalah jurulatih terbaik dunia dan terbaik yang Malaysia ada.

"Banyak peningkatan yang dapat dilihat sepanjang berlatih di bawah bimbingan beliau. Selain Zhuliang, beberapa lagi jurulatih yang Malaysia ada juga terbaik," katanya yang pernah meraih perak di Sukan Asia Incheon.

Terdahulu di Sukan SEA, atlet berusia 25 tahun itu menghadiahkan dua emas dan satu perak. Emas disumbangkan dalam acara 1 meter papan anjal dan 3m terjun seirama bersama Chew Yiwei.

Perak pula diraih dalam acara 3m papan anjal individu.

Amsyar juga antara penerjun berpengalaman negara selain Ooi Tze Liang dan pernah beraksi di Sukan Olimpik, Komanwel dan juga Asia.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments