Tanggal 16 September titik pembaharuan semangat perpaduan

SIBU: Sambutan Hari Malaysia 2020 perlu dijadikan peluang membugar semangat perpaduan seluruh rakyat dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang bersatu hati sebagai bangsa berjaya dan dihormati, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, tanggal 16 September perlu menjadi titik pembaharuan semangat perpaduan rakyat Malaysia bagi membentuk negara yang bersatu, makmur dan bermaruah, sejajar matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Beliau berkata, perpaduan rakyat negara ini yang berbilang kaum, agama dan wilayah ialah tunjang utama kekuatan Malaysia sebagai negara bangsa yang berjaya.

"Sempena sambutan Hari Malaysia hari ini, saya menyeru saudara dan saudari sekalian agar menghayati dengan mendalam makna Hari Malaysia.

"Perkukuhkanlah perpaduan, pupuk kerjasama yang lebih erat dan tingkatkan integrasi. Insya-Allah, dengan semangat perpaduan kaum dan integrasi nasional yang jitu, Malaysia yang kita cintai dan tumpahkan sepenuh taat setia akan terus berada di landasan kukuh untuk menempa lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia walau di mana jua anda berada.

"Sama-samalah kita berdoa semoga negara kita yang bertuah ini sentiasa dilimpahi rahmat keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran yang berkekalan," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2020 di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud; Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg; Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.



Sumber : Tanggal 16 September titik pembaharuan semangat perpaduan

Post a Comment

0 Comments