Hilang kerja akibat Covid-19, suami isteri terpaksa tinggal dalam kereta

KAMPAR – Pasangan suami isteri yang hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19, terpaksa tinggal di dalam sebuah kereta sejak empat bulan lalu kerana tiada tempat berteduh mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tualang Sekah Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

J Rajakumari dan suaminya P Sivagamyselvan, kedua-duanya berusia 45 tahun dan tidak mempunyai cahaya mata sebelum ini bekerja sebagai pencuci kereta di Johor Bahru selama lapan tahun terpaksa pulang ke kampung halaman sejak Julai lalu.

Rajakumari yang mempunyai penyakit kencing manis kronik berkata, dia dan suaminya terpaksa menjadikan kereta Proton Iswara milik mereka untuk berteduh dan tidur disebabkan keadaan rumah mendiang bapanya di Jalan Temoh, Kampung Baharin Pinji, di sini rosak teruk dan tidak boleh diduduki lagi.

“Kami berdua makan dan mandi di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Kampar kerana tidak mampu menyewa rumah atau hotel. “Kami memang tidak selesa dan susah hati kerana tinggal dalam kereta, tambah pula keadaan kesihatan saya tidak berapa baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Rajakumari berkata, mereka bersyukur selepas menerima bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pejabat Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri).

Katanya, pihak bomba turut membantu membina semula rumah peninggalan mendiang bapanya.

“Saya sangat gembira dan terima kasih kepada pihak yang membantu,” katanya.

Sementara itu, Nolee Ashilin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan berkata, pihaknya bekerjasama NGO serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan membina sebuah rumah dua bilik untuk pasangan itu. Katanya, kos untuk membeli bahan binaan rumah itu adalah kira-kira RM20,000, manakala anggota bomba akan membantu dari segi tenaga kerja untuk membina rumah berkenaan.

“Ini adalah tanggungjawab sosial korporat dalam membantu golongan miskin tegar memiliki kediaman yang selesa seterusnya mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata, seramai 32 anggota bomba ditugaskan untuk membina rumah itu yang dijangka siap sepenuhnya sebelum sambutan Deepavali, bulan depan.

“Kita mahu pasangan ini menyambut Deepavali dengan gembira seterusnya memberi suntikan semangat kepada mereka untuk meneruskan kehidupan pada masa akan datang,” katanya.

The post Hilang kerja akibat Covid-19, suami isteri terpaksa tinggal dalam kereta first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments