TINDAKAN seorang lelaki memandu di bawah pengaruh alkohol menyebabkan kereta dipandunya terbabas dan masuk ke dalam sungai di Bulatan Kepong, semalam.
Kejadian kira-kira 10 malam itu menyebabkan pemandu, Chan Yang Wai berusia 20 tahun meninggal dunia di lokasi, manakala penumpang, Chia Kah Lok, 18, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki mereka yang datang dari arah Jalan Kepong menghala ke Bulatan Kepong hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke Sungai Batu yang berhampiran dengan lokasi kejadian.
“Akibat perlanggaran itu, pemandu kereta berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala penumpang pula berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zulkefly berkata, mayat pemandu berkenaan dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
“Siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Bedah siasat terhadap mayat pemandu berkenaan akan dilakukan pada 11.30 pagi nanti,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.55 malam tadi.
“Seramai 20 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang dan BBP Sentul dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, kami mendapati terdapat kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas dan terjunam ke dalam longkang besar.
“Terdapat dua mangsa lelaki berjaya dibawa naik oleh anggota bomba dari dalam longkang dengan sedalam lima meter yang kemudian diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
The post Pemandu mabuk mati lemas kereta terjun sungai first appeared on Wowberita.
via Wowberita
0 Comments