Perkongsian seorang doktor mengenai kisah seorang kanak-kanak lelaki yang mengunjungi kliniknya baru-baru ini bersama ibunya mencuri perhatian ramai.
Menerusi hantaran di Faceebook, Dr Redza Zainol berkata, kanak-kanak itu hadir bagi temujanji susulan selepas dibenarkan keluar wad akibat mengalami muntah dan cirit-birit.
Sebaik doktor itu selesai melakukan pemeriksaan, si ibu kemudian memintanya untuk melihat keadaan kaki kanan anaknya yang bengkak selepas dicucuk ketika berada di wad.
” Terus saya melutut dan capai kaki kanan budak tu. Saya belek-belek dari atas sampai ke bawah kaki.
” Bila saya nak buka seliparnya, timbul rasa pelik. ‘Ketatnya selipar budak ni’.
” Lepas berjaya cabut keluar selipar dia, memang sah kaki budak tu berbekas dengan tali selipar tu. Bengkak tu dah surut. Kaki pun tak sakit.
” Masa nak pakaikan selipar, terasa ketat sangat jadi saya lepaskan je selipar tu. Budak tu ambil dan dia cuba pakai sendiri. Siap senyum lagi.
” Saya duduk dan diam sekejap. Selipar lusuh dan ketat macam ni, saya sendiri pun tak akan bagi anak saya pakai lagi,” tulis doktor tersebut.
Dr Redza Zainol sering berkongsi kisah keibubapaan dan kesihatan kanak-kanak di Facebook.
Dia lantas bertanya kepada si ibu sama ada anak lelakinya mempunyai selipar lain untuk dipakai kerana selipar yang sedang digunakan itu tidak sesuai kerana ketat malah ia juga kelihatan lusuh.
” Tak ada doktor. Boleh pula dia senyum. Teringat terus pada anak sendiri. Masing-masing ada dua hingga tiga selipar. Satu untuk di rumah, satu di rumah pengasuh, satu pula standby dalam kereta.
Boleh saya minta duit sikit?
” Doktor, boleh saya minta duit sikit? Anak saya tak makan lagi tengah hari. Saya nak beli roti untuk dia. Dia berbisik perlahan. Segan agaknya kalau-kalau orang lain dengar.
” Saya jadi sesak nafas. Dalam hati ni menjerit-jerit cukup ke roti tu. Susu anak pun dah habis. Duit tak ada. Boleh ya?” tulis doktor itu mengimbas kembali situasi hiba itu.
Kata-kata si ibu lantas membuatkan doktor ini sebak kerana memikirkan betapa si ibu sanggup melakukan apa saja untuk anak, bukan saja bersusah payah membawanya mendapatkan rawatan namun turut memikirkan perut si anak yang perlu diisi.
Tidak berfikir lama, doktor ini menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan wang dari dompet lalu diberikan kepada wanita itu.
Sebahagian perkongsian Dr Redza mengenai kisah selipar lusuh milik seorang pesakit kecilnya.
” Walaupun tak ada duit, diusaha juga supaya mereka anak beranak sampai ke hospital. Untuk anak, manusia sanggup berbuat segalanya.
Kita sebenarnya setiap hari berjalan tanpa beban.
” Bersyukurlah nikmat apa yang ada pada kita hari ini sebab ada orang sekeping roti pun tak mampu nak beli dan makan apatah lagi tukar selipar elok untuk anak.
” Saya duk fikir dia yang tak cukup duit pun boleh tersenyum. Kita yang ada duit, ada kereta, ada pangkat, hari-hari asyik pula mengeluh.
” Lagi banyak mengeluh dari berzikir sampaikan muka jadi kelam, hati pun makin penuh dengan titik hitam. Kalau kita fikir kita susah, ada lagi yang lebih susah,” ujarnya lagi.
Sehingga kini posting tersebut meraih 308 shares di Facebook.
via 1 MIN READ
0 Comments