KUALA LUMPUR — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah bertitah perkara itu diputuskan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini.
“Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan Istana Negara.
Seri Paduka merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak Covid-19 ini dengan baik dan berkesan.
“Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini daripada merebak,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Ahmad Fadil berkata sebelum ini Al-Sultan Abdullah berkenan memperhalusi permohonan yang telah dipersembahkan oleh Muhyiddin pada majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang, Jumaat lalu.
Permohonan tersebut ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.
Pada masa yang sama Ahmad Fadil berkata Seri Paduka Baginda turut mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politicking’ (mainan politik) yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.
Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.
“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
“Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka,” katanya.
Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong amat prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat ekoran kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja itu berkata Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan juang yang tinggi seperti yang pernah dipamerkan bersama, semua pihak mampu sekali lagi berganding bahu memerangi gelombang ketiga penularan wabak ini.
Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menyeru rakyat, tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik, mengetepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu serta bersatu hati, memainkan peranan membantu kerajaan dan pihak berkuasa membendung wabak Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara.
Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga wabak Covid-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera.
Terdahulu, Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berlangsung hampir tiga jam di Istana Negara.
Perbincangan khas berkenaan adalah bagi meneliti cadangan-cadangan yang dikemukakan Muhyiddin bersama beberapa menteri Kabinet ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Jumaat lalu. — Bernama
The post Tiada darurat, Covid-19 ditangani cara berkesan, titah Agong first appeared on Wowberita.
via Wowberita
0 Comments