Kes selesai, Siti Nur Suria dibunuh kerana mengejek suspek – Polis

HULU TERENGGANU – Polis berjaya menyelesaikan kes bunuh Siti Nur Suria Ismail, 19, dalam tempoh 17 jam apabila menahan kawan baik mangsa yang mengaku melakukan perbuatan kejam itu hanya kerana berang diperli gadis itu.

Suspek, 19, yang juga bekas rakan sekolah Siti Nur Suria ditahan pada pukul 7.30 pagi selepas dia tampil memberi keterangan di Balai Polis Telemong di sini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, ketika disoal siasat, suspek mendakwa telah menemui mayat Siti Nur Suria tertiarap di ruang tamu ketika pergi ke rumah mangsa pada pukul 9.30 pagi kelmarin.

Bagaimanapun, katanya, polis mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila terdapat kesan lebam dan gigitan pada beberapa bahagian badannya sebelum dia mengaku telah membunuh mangsa.

“Dia menceritakan, pada mulanya dia hanya pergi ke rumah mangsa sekadar untuk bersembang kosong dan ketika sedang berbual itu, suspek mendakwa Siti Nur Suria telah merendah-rendahkan dirinya terutama tentang status ekonomi keluarga dan rupa parasnya.

“Suspek yang panas hati kemudian telah menyerang mang­sa yang kebetulan sedang meme­gang sebilah pisau untuk me­netas lebihan benang pada seluar­nya,” katanya di sini ­semalam.

Terdahulu, mayat Siti Nur Suria ditemui berhampiran katil ibunya, Zaini Musa, 55, yang terlantar akibat sakit barah otak di Kampung Lubuk Batu, Telemong di sini.

Menurut Roslee, suspek dan mangsa kemudian telah bergelut hingga menyebabkan Siti Nur Suria cedera ditetak pada bahagian muka, leher dan dada menggunakan senjata tajam.

Tambahnya, suspek yang panik apabila mendapati ­mangsa tidak lagi bergerak selepas ditetak nekad memotong pergela­ngan tangan kiri mangsa hingga putus.

“Suspek juga telah mengambil wang dan telefon bimbit milik mangsa bagi mencipta plot ko­nonnya insiden itu bermotifkan samun sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal,” ­katanya.

Ujar Roslee, keterangan suspek konsisten dengan bukti televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebuah rumah burung walit berhampiran rumah mangsa.

“CCTV itu merakam kelibat suspek dan motosikalnya berada di rumah tersebut sewaktu kejadian,” katanya.

Suspek kini direman 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bapa harap pembunuh Siti Nur Surya terima balasan setimpal

“Saya harap orang yang menyebabkan kematian Siti Nur Surya akan menerima hukuman yang setimpal,” kata bapa kepada Allahyarhamah Siti Nur Surya.

Ismail Muda, 58, berkata beliau sama sekali tidak menyangka suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes itu bekas rakan sekolah yang pernah berkawan rapat dengan arwah.

“Dia (suspek) sering datang ke rumah, namun sejak beberapa bulan lepas agak jarang menemui kakak (Siti Nur Surya) di rumah. Saya benar-benar tidak sangka dengan kejadian yang menimpa,” katanya.

Sementara itu adik arwah, Nor Liyana Syuhada, 15, berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan kakaknya ialah pagi semalam sebelum pergi ke sekolah dan ketika itu kakaknya masih lagi tidur di bilik mereka.

Beliau berkata, arwah kakaknya seorang yang peramah serta periang apabila bersama keluarga dan kehilangannya amat dirasai oleh mereka sekeluarga.

“Kami memang berkongsi bilik yang sama tetapi sejak minggu lepas arwah sering tidur bersendirian di ruang tamu, dan malam sebelum kejadian kakak sempat tidur bersama emak. Petang tadi kami terpaksa beritahu emak yang arwah meninggal dunia disebabkan demam kerana bimbang kejadian ini akan menjejaskan kesihatannya,” katanya.

Sementara itu, jenazah Siti Nor Surya selamat dikebumikan kira-kira pukul 8.15 malam di tanah perkuburan Kampung Beladau Selat dengan dihadiri keluarga terdekat serta penduduk setempat.

Terdahulu jenazah Siti Nur Surya selesai dibedah siasat lewat petang tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum dibawa ke masjid untuk disembahyangkan. – BERNAMA

The post Kes selesai, Siti Nur Suria dibunuh kerana mengejek suspek - Polis first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments