Pesara MARDI maut ditetak perompak

KUALA LUMPUR – Bekas pengarah bahagian teknologi maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) maut, manakala isterinya cedera diserang perompak bersenjatakan parang di kediaman mereka di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya di sini awal pagi tadi.

Mangsa, Wan Hassan Wan Embong, 71, maut akibat mengalami kecederaan pada muka dan leher.

Difahamkan, mangsa tinggal bersama isterinya di kediaman banglo dua tingkat yang mempunyai tujuh bilik itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian terbabit selepas menerima panggilan daripada anak mangsa memaklumkan rumah ibu bapanya dipecah masuk dua lelaki bersenjatakan parang pada jam 4.01 pagi.

“Sepasukan anggota polis yang tiba mendapati mangsa telah meninggal dunia, manakala isterinya pesara guru cedera di bahu kanan.

“Menurut keterangan isteri mangsa, dia memberitahu suspek memecah masuk kira-kira jam 3.30 pagi sebelum suaminya turun selepas terdengar bunyi bising di bahagian dapur.

“Kemudian, datang dua lelaki tidak bertopeng yang bersenjatakan parang bertindak meminta duit dan mangsa cuba melawan sebelum dia ditetak, malah isteri mangsa turut cedera akibat ditetak di bahu kanan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, suspek yang berjaya mendapatkan barang berharga kemudian melarikan diri mengikut tingkap di bahagian dapur.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk memburu suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya.

The post Pesara MARDI maut ditetak perompak first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments