” Motosikal itulah satu-satunya kenderaan saya gunakan untuk mencari rezeki menyara keluarga, tolonglah pulangkan semula,”
Itu kata-kata seorang penghantar makanan, Nur Athirah Abdul Latif yang kehilangan motosikalnya semalam kerana dicuri yang mendapat perhatian orang ramai yang bersimpati dengannya.
Siapa sangka, keluhan itu mendapat perhatian Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan menghadiahkan motosikal baru kepada Nur Athirah.
Dalam satu kenyataan yang dikongsikan di Facebook Selangor Royal Office, Tengku Permaisuri Norashikin berasa amat sedih dan terharu apabila membaca berita yang tular mengenai nasib malang menimpa Nur Athirah.
Sumbangan itu disampaikan oleh Juruiring Polis (ADC) kepada Tengku Permaisuri Selangor, Inspektor Noor Hidayu Aziz.
” DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan sumbangan peribadi berupa sebuah motosikal kepada saudari Nur Athirah Abdul Latiff yang baru sahaja ditimpa musibah apabila motosikalnya dicuri ketika sedang melakukan kerja penghantaran makanan di Batu Caves, Selangor.
” Baginda berasa amat sedih dan terharu apabila membaca berita yang tular mengenai nasib malang Nur Athirah.
” Sumbangan itu disampaikan oleh Juruiring Polis (ADC) kepada DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Inspektor Noor Hidayu Aziz.
” Nur Athirah yang merupakan anak kedua dari tiga beradik tinggal bersama ibunya di Batu Caves kini bertindak selaku penyara keluarga dengan melakukan kerja penghantaran makanan sepenuh masa.
” DYMM Tengku Permaisuri Norashikin berharap dengan sumbangan ini Nur Athirah akan dapat kembali meneruskan kerja harian dengan sempurna seterusnya membantu keluarga.
” Titah Baginda lagi, di waktu kita semua sedang diuji dengan pelbagai dugaan ketika ini, Baginda amat berharap agar masyarakat di luar sana lebih bersifat perikemanusiaan dan bertimbang rasa di antara satu sama lain.
” Baginda turut mendoakan agar sekalian rakyat terus dimurahkan rezeki dan sentiasa di dalam perlindungan Allah S.W.T.” tulis kenyataan itu.
Parking tak sampai 10 minit hilang
Terdahulu, motosikal Yamaha 135LC milik Mur Athirah dengan nombor plat BQF2182 hilang di depan pasar raya Batu Caves.
Nur Athirah berkata, dia ke pasar raya itu pada jam 1.30 petang untuk mengambil makanan yang dipesan pelanggan dan meletakkan motosikal di kawasan berkenaan.
” Apabila kembali ke kawasan parkir tidak sampai 10 minit, saya dapati motosikal sudah tiada sebelum diberitahu ia dicuri,” katanya.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan motosikal itu pada 3 petang.
“Polis kini sedang mengesan saksi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian bagi mengenal pasti suspek.
via 1 MIN READ
0 Comments