Pekerja J&T sedih tengok lori kosong, netizen turut simpati

KERANA nila setitik rosak susu sebelanga.

Ungkapan itu mungkin sesuai digunakan bagi menggambarkan situasi perniagaan syarikat kurier J&T yang terpalit dengan isu mogok dan campak barang pelanggan, baru-baru ini.

Terkesan dengan apa yang berlaku, salah seorang penghantar barang di syarikat itu, Muhammad Afiq Sazali, 28, dari Butterworth, Pulau Pinang, turut membuat luahan di laman sosial.

“Selalunya penghantaran sehari mesti 100-150 tetapi selepas kejadian tempoh hari cuma dapat 20 barang sahaja sehari. Doakan untuk J&T Express, ” tulisnya di kapsyen TikTok.

Menerusi video yang dimuat naik oleh pemuda berusia 28 tahun itu, dia berkata apa yang dilihat dalam video tersebut adalah keadaan sebenar yang dialami dirinya dan rakan-rakan pada masa ini.

Dalam video tersebut Muhammad Afiq menunjukkan tidak banyak barang yang perlu dihantar kepada pelanggan, malah masih terdapat banyak ruang kosong di bahagian dalam lori.

Sehingga kini perkongsian itu mendapat kira-kira 70,000 likes dan 6,000 komen.

“Sejujurnya, saya akui apa yang terjadi itu memang sesuatu yang sukar untuk dilupakan begitu sahaja.

“Mungkin pelanggan hilang kepercayaan terhadap kami. Tapi kasihanilah kami yang dari dulu kerja ikhlas tak buat masalah.

“Gambar dalam lori tu memang situasi sebenar dan saya percaya tempat lain pun lebih kurang sama sebab saya ada juga tanya kawan-kawan di negeri lain, ” katanya.

Lebih mesra disapa Afiq, dia mengakui perniagaan khidmat kurier di syarikat tempatnya bekerja terkesan selepas tular insiden campak barang tempoh hari yang mana perbezaan dapat dilihat dari segi jumlah barang harian yang perlu dihantar kepada pelanggan.

“Sedih sangat bila sehari penghantaran setakat 20-30 barang. Sebelum ini cecah ratus, ” ujarnya.

Bapa kepada dua anak itu meluahkan rasa sedih dan berharap orang ramai terus meletakkan kepercayaan dengan menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat tempatnya bekerja.

“Saya rasa sama sahaja syarikat khidmat kurier mana pun, mesti akan ada juga yang tak puas hati dan aduan keadaan barang daripada pelanggan… cuma apa yang berlaku kepada J&T itu dibuat dengan sengaja.

“Kalau saya di tempat pelanggan pun saya faham, cuma saya berharap kali ini mereka boleh beri peluang sikit sebab yang buat masalah tu cuma beberapa kerat staf sahaja.

“Memang betul kalau tak sampai target kami tak ada langsung komisyen tapi kami dah biasa dari dulu hantar banyak barang, jadi tak ada isu nak campak barang dan sebagainya.

“Paling penting kami bukan bawah pengurusan yang sama dengan video tular. Tak adil juga untuk kami sebenarnya, ” jelasnya.

Dalam pada itu, Afiq meluahkan rasa syukur kerana masih diberi kesempatan untuk mencari rezeki dalam bidang yang telah lama diceburinya iaitu fotografi.

Dia yang tinggal di Butterworth, Pulau Pinang itu baru setahun bekerja dengan J&T kerana bisnes fotografi perkahwinannya tidak begitu baik sejak pandemik Covid-19 ini.

“Mujurlah saya boleh juga cari pendapatan dari sumber lain. Sebelum bekerja J&T ini memang saya buat bisnes fotografi sepenuh masa tetapi sejak Covid-19 terkesan sikit.

“Saya harap sangat pelanggan beri semula kepercayaan mereka kepada kami dan apa yang berlaku semua ini akan kami jadikan pengajaran, ” katanya.

The post Pekerja J&T sedih tengok lori kosong, netizen turut simpati first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments