Wanita memandu lawan arus, 4 kenderaan terbabit kemalangan

BUKIT MERTAJAM – Tindakan seorang wanita memandu kereta secara melawan arus menyebabkan berlaku kemalangan dengan tiga kenderaan lain di susur Jalan Perusahaan Perai, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada jam 6.20 petang itu, semua mangsa terbabit dalam kemalangan berkenaan termasuk pemandu wanita itu cedera dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata polis dimaklumkan kejadian itu pada jam 6.30 petang membabitkan tiga pemandu kereta dan seorang penunggang motosikal.

“Ketika polis tiba, semua mangsa dilaporkan cedera sudah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Berdasarkan siasatan, kemalangan dipercayai berlaku susuan tindakan seorang wanita berusia 31 tahun yang memandu melawan arus dan kemudian melanggar dua kereta dipandu lelaki masing-masing berusia 26 dan 29 tahun serta seorang penunggang motosikal berusia 31 tahun yang datang dari arah hadapan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut kes itu dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan seorang lelaki dirakam menunggang motosikal disyaki curi secara melawan arus di Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE).

Dua minggu sebelum itu, terdapat kejadian sebuah kereta melawan arus kerana cuba mengelak melalui sekatan jalan raya berhampiran Kilometer 2.5 Lebuhraya Lingkaran Luar (LLB) dekat Perai.

Ini menjadikan tiga kejadian kenderaan melawan arus dilaporkan berlaku di Pulau Pinang dalam tempoh tidak sampai sebulan.

The post Wanita memandu lawan arus, 4 kenderaan terbabit kemalangan first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments