Legenda sepak takraw negara, Pak Sahak meninggal dunia akibat Covid-19

KUALA LUMPUR – Arena sukan sepak takraw tanah air kehilangan seorang legenda era 70-an, Sahak Md Yasin yang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Setapak hari ini.

Allahyarham yang mencetuskan teknik ‘blocking’ itu, meninggal dunia pada usia 73 tahun kira-kira pada jam 3.30 petang tadi selepas lebih sebulan bertarung nyawa dengan COVID-19.

Allahyarham yang dikenali dengan gelaran Pak Sahak itu sebelum ini dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh bersama isterinya, Rokiah Basir pada 26 April lalu sebelum disahkan positif pandemik, dua hari selepas itu.

Isterinya, Rokiah, 67, bagaimanapun pulih dan dibenarkan keluar hospital pada 12 Mei lalu.

Allahyarham yang meninggalkan seorang balu dan empat anak itu dipindahkan ke Hospital UiTM, Puncak Alam pada 31 Mei namun ketika itu masih menerima bantuan mesin oksigen.

Menurut menantunya, Zaki Ab Rahman, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Kampung Nuri, Johol, Negeri Sembilan dan dijangka dikebumikan di tanah perkuburan kampung berkenaan pada jam 10 malam ini.

Untuk rekod, Allahyarham pernah memenangi tiga pingat emas Sukan SEAP/SEA di Singapura pada 1973, Bangkok 1975 dan Kuala Lumpur 1977.

The post Legenda sepak takraw negara, Pak Sahak meninggal dunia akibat Covid-19 first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments