Pemandu lori tunda maut, nahas dua buah lori

JEMPOL: Seorang pemandu kenderaan lori tunda meninggal dunia di Klinik Kesihatan Palong 4,5 dan 6 selepas lebih sejam terlibat dalam kemalangan di Jalan Besar Palong 2, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Mohamad Azim Othman, 26, disahkan meninggal dunia di klinik berkenaan pada pukul 3.25 petang.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kemalangan berkenaan membabitkan dua buah kenderaan iaitu lori tunda jenis Isuzu yang dipandu mangsa dan lori jenis Hino yang dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun yang membawa muatan buah sawit.

“Siasatan awal mendapati pemandu muatan sawit dari arah Pasir Besar menghala ke Palong 2. Setiba ditempat kejadian, pemandu lori tunda dari arah bertentangan dipercayai gagal mengawal kenderaannya dan masuk ke laluan lori muatan sawit lalu merempuh di bahagian sisi kanan lori muatan sawit berkenaan.

“Mangsa yang cedera parah di bahagian kepala dikejarkan ke Klinik Palong 4,5 dan 6 bagi menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia selepas sejam mendapatkan rawatan,” katanya kenyataan di sini, hari ini.

Chang Hook berkata, pemandu lori membawa muatan kelapa sawit berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Menurutnya, mayat mangsa bakal dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE

The post Pemandu lori tunda maut, nahas dua buah lori first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments