GEORGETOWN: Bulan Jun hingga Ogos di negeri ini selalunya sinonim dengan musim durian terutama durian dari Balik Pulau yang memberikan pulangan berganda buat pemilik dusun serta peniaga raja buah itu.
Bagaimanapun, akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), para peniaga durian terpaksa berdepan dengan kerugian sehingga mencecah RM80,000 musim ini ekoran durian tidak dapat dipasarkan secara meluas.
Bagi pengusaha kebun durian, Shamsol Abdul Aziz, 34, berkata, dia yang mengusahakan kebun durian seluas 1.6 hektar di Sungai Pinang, Balik Pulau telah melabur kira-kira RM120,000 pada musim ini untuk penjagaan serta pembelian baja berkualiti bagi pokok-pokok durian di kebunnya.
“Hasil durian di kebun dijangka meningkat sehingga 17 tan tahun ini berbanding 11 tan tahun lalu kerana saya gunakan baja yang berkualiti tinggi.
“Namun, pasaran buah yang sebelum ini dijual hingga ke Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain tergendala akibat PKP dan saya jangka kerugian pada musim ini bakal mencecah RM80,000,” katanya ketika ditemui di gerainya, di Tanjong Tokong di sini semalam.
Shamsol yang mengusahakan kebun durian sejak 10 tahun lalu berkata, pada tahun lalu, dia dan peniaga durian lain berdepan kesukaran akibat pelaksanaan beberapa PKP dan dia tidak menyangka situasi lebih getir dihadapi tahun ini.
“Pada tahun lalu, kami masih boleh membuka gerai di tepi jalan untuk menjual durian, namun, tahun ini masih belum ada keputusan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
“Kami amat berharap dapat membuka gerai di tepi-tepi jalan kerana bimbang berlaku lambakan hasil durian pada musim ini,” katanya.
Tambahnya, dia telah cuba berniaga durian secara dalam talian dan menyertai platform Jom Beli Online (JBO@MBPP) seperti disarankan oleh MBPP, namun, hasil jualan tidak serancak ketika berniaga di gerai.
Ini kerana katanya, orang ramai kebanyakannya lebih suka melihat dan memilih sendiri buah durian sebelum membuat keputusan membeli.
“Disebabkan itu, penting untuk para peniaga durian dibenarkan untuk berniaga di gerai sementara di tepi jalan pada musim durian bermula Jun hingga Ogos ini dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kami memang tidak membenarkan pelanggan untuk makan di gerai kerana kami sendiri bimbang dengan Covid-19, sekurang-kurangnya benarkan pelanggan memilih buah sendiri di gerai,” katanya.
Bagi mereka yang ingin menempah durian secara dalam talian, mereka boleh berhubung menerusi Facebook, Snqq legasi atau menelefon di talian017-4888432 / 012-6818432. -UTUSAN ONLINE
The post Peniaga durian gigit jari, banyak buah tak terjual gara-gara PKP first appeared on Wowberita.via Wowberita
0 Comments