Jururawat ulang alik 100km ke tempat kerja maut kemalangan

GEORGE TOWN – Jururawat yang maut dalam kemalangan di Jalan Tun Sardon, di sini pagi tadi dikatakan berulang-alik dengan motosikal dari rumahnya di Sungai Pinang, Balik Pulau ke Bertam, Kepala Batas setiap hari.

Norliana@Norsyazwani Roslan, 29, disahkan meninggalkan dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira pukul 9.30 pagi akibat kecederaan parah pada kepala dan perut.

Suaminya, Syukur Zainol, 29, berkata, isterinya yang berkhidmat sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) di Jalan Perak enam tahun lalu kini sedang menyambung kursus Diploma Lanjutan Kebidanan di sebuah kolej kejururawatan di Bertam.

Jarak perjalanan sehala dari Balik Pulau Ke Bertam adalah sejauh 50 kilometer (km).

Dakwa Syukur, Norliana yang hanya memiliki lesen menunggang motosikal itu dijangka akan tamat pengajian pada minggu ini.

“Saya terkejut sebaik menerima panggilan daripada pihak hospital yang memaklumkan isteri terlibat kemalangan pagi tadi. Dia (Norliana) keluar dari rumah pada pukul 6.15 pagi.

“Sebelum keluar rumah, kami sempat bersalaman. Dia langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap tetapi semalam, dia ajak saya bawa anak-anak ke tepi pantai di Batu Feringghi.

“Dia juga ada tempah baju jalan berwarna kuning di Shopee untuk dipakai seragam dengan dua anak kami berusia lapan bulan dan lima tahun,” katanya kepada Kosmo! di pekarangan Unit Forensik, Hospital Pulau Pinang di sini hari ini.

Beritahu Syukur lagi, dia reda dengan pemergian isteri tercinta dan menyifatkan Norliana sebagai seorang yang pendiam serta penyayang.

Jenazah Norliana akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pinang di Balik Pulau hari ini selepas semua urusan bedah siasat selesai dijalankan.

Terdahulu, kemalangan kira-kira pukul 6.30 pagi tadi melibatkan motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggang Norliana dipercayai bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang dalam perjalanan dari arah Relau ke Balik Pulau.

Penunggang motosikal terbabit yang merupakan seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya itu dilaporkan maut di tempat kejadian. – KOSMO! ONLINE

The post Jururawat ulang alik 100km ke tempat kerja maut kemalangan first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments