2 pengikut Tuhan Harun dihukum gantung

DUA pengikut 'Tuhan Harun' Shamsinar Abd Halim (kanan) dan Sumustapha Suradi (kiri) dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana didapati bersalah mengenai kes pembunuhan Ketua Penolong Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Ahmad Raffli Abd Malek, tiga tahun lalu di Mahkamah Tinggi Kuantan. - Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua daripada lima tertuduh kes pembunuhan Ketua Penolong Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd Malek, tiga tahun lalu.

Sumustapha Suradi, 41 dan Shamsinar Abdul Halim, 39, didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Ahmad Raffli di No 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota, di sini, pada jam 1.50 tengah hari, 10 November 2013.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ab Karim Ab Rahman, membuat keputusan itu selepas meneliti hujahan pihak pendakwaan dibarisi Timbalan Pendakwa Raya Khamizah Salleh, Nurul Farahah Mohd Suah dan Shahrul Ekhsan Hasim serta peguam bela tertuduh.

Pihak pendakwa dan peguam bela, masing-masing mengemukakan 54 dan 10 saksi sepanjang perbicaraan yang berlangsung kira-kura dua tahun.

Sumustapha dan Shamsinar juga didapati bersalah mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama kerana bersama dengan seorang lagi yang masih bebas melakukan konspirasi untuk membunuh Ahmad Raffli pada tarikh dan lokasi sama.

Tiga lagi pengikut kumpulan ajaran sesat itu, Azida Mohd Zol, 33, yang juga isteri kepada 'Tuhan Harun', pemandu mereka, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 40 dan Jefferi Safar, 39, dibebaskan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah pembabitan mereka dalam konspirasi pembunuhan Ahmad Raffli.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments