Pulangan pelaburan ASB masih kompetitif

WAHID Omar ketika mengumumkan pengagihan pendapatan ASB, 6.75 sen seunit dan ASN, 5.00 sen bagi pendapatan untuk tahun 2016, Khamis lalu. - Foto Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan berusaha melaksanakan pelan strategik PNB 2017-2022 yang diumumkan pada 24 November lalu bagi memastikan ia terus dapat memberikan pulangan berdaya saing dan mapan.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata antara lain, ia termasuk mengoptimumkan peruntukan aset strategik dan meningkatkan prestasi syarikat milik PNB.

"Saya berjanji akan memanfaatkan pengalaman lebih 28 tahun dalam bidang korporat dan pentadbiran untuk PNB. Ini termasuk pengalaman dalam menerajui tiga syarikat besar iaitu Kumpulan UEM, Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Maybank.

"Saya; Datuk Abdul Rahman Ahmad (Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB); barisan pengurusan dan seluruh warga PNB berjanji untuk membuat yang terbaik untuk PNB, pelabur serta negara," katanya menerusi kenyataan di sini.

Khamis lalu, PNB menerusi anak syarikat milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan 6.75 sen seunit dan bonus 0.5 seunit untuk skim Amanah Saham Bumiputera (ASB). Ia membabitkan bayaran berjumlah RM10.3 bilion kepada sembilan juta pemegang unit ASB.

Mengulas kadar pulangan pelaburan ASB untuk tahun 2016, Wahid berkata, agihan pendapatan 6.75 sen seunit dan bonus 0.5 seunit boleh dianggap amat berdaya saing berbanding penanda aras prestasi pasaran saham yang negatif dengan kadar faedah semasa adalah rendah.

Katanya, ketidaktentuan ekonomi dunia dan penyederhanaan pertumbuhan ekonomi negara, di samping penurunan harga minyak serta komoditi menyebabkan pasaran saham mengalami pulangan negatif sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Bagi tahun 2016, beliau berkata, indeks FBM KLCI mencatatkan penurunan 4.7 peratus dan selepas mengambil kira pendapatan daripada dividen, ia masih memberikan pulangan negatif 1.7 peratus.

"Kadar faedah semasa juga adalah rendah dengan KLIBOR pada tahap 3.3 peratus setahun. Dengan keadaan sedemikian, sudah tentunya pulangan pelaburan ASB menjadi lebih rendah berbanding tahun sebelumnya," katanya.

INFO

  • PNB adalah pengurus dana unit saham amanah terbesar di Malaysia
  • Urus dana berjumlah RM260 bilion iaitu RM220 billion dana unit saham amanah dan RM40 bilion dana sendiri
  • Daripada RM220 bilion itu, ASB adalah skim unit saham amanah terbesar dengan jumlah unit 144 bilion
  • Sebanyak 68.5 peratus daripada jumlah dana ASB dilaburkan dalam saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, 2.6 peratus sekuriti hutang dan 28.9 peratus dalam wang tunai
  • Pelaburan saham utama termasuk Sime Darby, Maybank, UMW, Tenaga Nasional, TM, Axiata, Maxis, Digi dan Petronas Chemicals


lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments