Cubaan keluar ke Thailand

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Kelantan mematahkan cubaan lima pendatang asing tanpa izin warga Myanmar, yang cuba menyeludup keluar ke Thailand melalui Sungai Golok, awal pagi tadi.

Suspek berusia 20 hingga 34 tahun ditahan di Pasir Pekan kira-kira jam 5 pagi ketika dalam perjalanan ke Rantau Panjang.

Turut ditahan pemandu kereta lelaki warga tempatan berusia 45 tahun, yang bertanggungjawab mengambil dan menghantar pendatang itu.

Kesemua warga asing itu dikatakan menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Pasir Mas sebelum diambil lelaki tempatan untuk dibawa ke Rantau Panjang.

Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, berkata tangkapan itu dilakukan hasil risikan yang dilakukan pihaknya dengan bantuan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

"Sebaik mendapat maklumat, kita mengesan sebuah kereta jenis Honda Accord dari arah Kampung Kutan menghala Pasir Pekan sebelum mengejar dan menahan kenderaan terbabit.

"Hasil pemeriksaan kita mendapati, kereta dipandu lelaki tempatan itu membawa lima lelaki warga asing dan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah.

"Lima warga Myanmar itu ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah dibawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen dan lelaki warga tempatan ditahan sementara di Pejabat Imigresen Telipot untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wan Mohammed Saupee turut mengingatkan penduduk tempatan supaya tidak bersubahat dengan sindiket penyeludupan kerana ia boleh menggugat keselamatan negara.

"Selain akta imigresen, kita turut menyiasat kes berkenaan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007," katanya.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments