Shahzan Muda sasar final Piala FAM

KUANTAN: Shahzan Muda FC akan memastikan slot final menjadi milik kelab itu apabila melayan pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada separuh akhir pertama Piala FAM di Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh, malam esok.

Kelab dari Pahang itu mahu kelebihan di laman sendiri dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mendapat bekalan selesa sebelum aksi separuh akhir kedua pada 8 Oktober ini.

Kapten pasukan, Wan Muhammad Idham Wan Sulaiman berkata, semangat dan komitmen tinggi ditagih rakan sepasukan untuk mencatat kemenangan selesa.

Katanya, dengan pengalaman yang dimiliki pemain termasuk bekas pemain Pahang akan membantu memperkasakan skuad itu sekali gus kembali ke Liga Perdana.

"Kami akan bermain dengan penuh semangat terutama memastikan kemenangan dengan bekalan gol selesa seperti yang dipersembahkan ketika menewaskan PJ Rangers pada aksi suku akhir.

"Jentera serangan diharap lebih berbisa untuk membolosi gawang lawan awal sebagai suntikan moral kepada semua pemain," katanya.

Wan Muhammad Idham mengharapkan sokongan padu daripada peminat bola sepak terutama di sekitar Temerloh untuk beramai-ramai memberikan semangat kepada skuad itu.

"Saya percaya aura kemenangan ke atas PJ Rangers akan terus dipersembahkan untuk memastikan kemenangan ke atas UKM," kata pemain berumur 28 tahun itu.

Pada suku akhir Piala FAM, skuad kendalian Tajuddin Nor itu menewaskan PJ Rangers dengan agregat 3-1.

Jika menang ke atas UKM, Shahzan Muda akan bertemu sama ada FELCRA FC atau Sime Darby FC.

Pasukan yang layak ke final, secara automatik layak ke Liga Perdana musim depan.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments